Isnin, Oktober 07, 2013

Menjelang Pemilihan PAS, Abdul Hadi Redakan “Pertempuran” Ulama & Profesional?


Datuk Seri Abdul Hadi Awang masuk campur bagi meredakan jurang antara ulama dan profesional menjelang pemilihan PAS pada muktamar ke-59 November ini.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Presiden PAS itu hanya berjaya menyelesaikan 50 hingga 60 peratus sahaja ketegangan dalam Liqa’ Fikri (pertemuan pemikiran) Sabtu lalu dengan menasihati perwakilan yang akan bertanding supaya menjauhkan sebarang kempen yang boleh menjejaskan perpaduan parti Islam itu.

“Semasa mesyuarat minggu lepas itu, Presiden menasihati pemimpin dan mereka yang bertanding supaya tiada unsur luaran mengganggu gugat parti dalam pemilihan kali ini,” katanya selepas menghadiri pertemuan tersebut.

“Unsur luaran tersebut seperti isu Syiah bukan Syiah, isu perbezaan ulama dan profesional, ini antara isu luaran yang mungkin akan menjejaskan parti,” katanya.

Difahamkan, Abdul Hadi menyatakan kebimbangan mengenai jurang antara kumpulan ulama dan profesional serta aktivis dalam PAS, dan dengan tegas beliau berkata bahawa semua pihak berperanan memastikan keteguhan parti.

Muktamar PAS ke-59 akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam bermula pada 22 hingga 24 November depan yang bakal menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertingginya.


Bagi mengawal kepanasannya, PAS terpaksa membuat satu garis panduan bagi pihak yang ingin menyertai pertandingan dalam pemilihan itu.

Muktamar kali ini dijangka panas dengan isu penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) ekoran resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS di Alor Setar sebelum ini.

Antaranya, resolusi itu mahu supaya PAS mengkaji semula tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan PR khususnya PKR ekoran berkurangnya sokongan pengundi Melayu kepada PAS dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.

Bagaimanapun, resolusi tersebut mendapat tentangan kelompok profesional PAS kerana mereka mengatakan sokongan kaum lain juga faktor utama yang perlu dipertimbangkan PAS bukan hanya kepada masyarakat Melayu semata-mata.

Dalam Liqa’ Fikri itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dikatakan mempertikaikan andaian bahawa PAS rugi bila bekerjasama dengan PKR.

Katanya, PAS menang empat kerusi yang diambil daripada PKR ekoran kerjasama itu.

Oleh itu, katanya, tidak berbangkit PAS rugi kerana kerjasama dengan PKR.

Seseorang yang dikatakan mirip kepada Mustafa Ali

Kerusi itu ialah Parlimen Dungun dan Temerloh serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa (Johor) dan Changkat Jering (Perak). Semuanya ditandingi PKR dalam Pilihan Raya 2008 lalu dan semasa PRU13, kerusi itu diserahkan kepada PAS dan berjaya memenanginya.

“Hadi juga berkata tiada jurang perbezaan ataupun sempadan antara ulama dan professional kerana kedua-duanya sama penting,” kata sumber itu apabila ditanya sama ada wujud konflik antara kedua-dua kelompok tersebut.

Beberapa pemimpin utama PAS seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan, Dr Dzulkefly Ahmad dan ramai lagi turut hadir dalam mesyuarat tertutup itu.

Bagaimanapun, Mohamad enggan memberi penjelasan mengenai perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu.

“Sentiasa hangat, setiap mesyuarat hangat,” kata Mohamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dzulkefly pula berkata, mesyuarat itu membincangkan hal-ehwal dalaman parti dan perkara berbangkit tidak boleh didedahkan kepada umum demi menjamin perpaduan parti.

Hampir 1,300 perwakilan dari seluruh negara akan menyertai muktamar ini dan bakal memilih pucuk pimpinan PAS untuk dua tahun akan datang.



Dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, Mohamad berkata, beliau terkejut dengan apa yang berlaku dalam PAS terutama mengenai perubahan minda di kalangan ahli parti Islam itu.

“Saya terkejut dan hairan dengan perubahan minda ahli PAS terhadap muktamar dan kepimpinan parti,” katanya.

Pelbagai kempen dijalankan oleh ahli PAS termasuk dengan cara menyerang dan melabelkan pihak yang tidak dipersetujui oleh masing-masing dengan menjadikan Facebook, sms dan blog sebagai medan utama.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, dalam PAS ada tatacara pemilihan walaupun tidak dilembagakan.

Katanya, ia menjadi satu kefahaman umum bahawa kempen terbuka tidak digemari dan tidak dizinkan walaupun tidak dilembagakan.

Malah, Mohamad juga berkata tuduhan itu bukan hanya menerusi laman web atau Facebook sahaja tetapi dalam pertemuan yang dinamakan Liqa’ Fikri.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: