Isnin, Oktober 28, 2013

#PRK Sg Limau : Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima?


Mahfuz Omar @ The Mr.Bean merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah yang baru. Beliau juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau Pas. Memang tidak ada pemimpin lain yang paling layak di Kedah memikul tanggungjawab itu.

Mahfuz seorang pemimpin pembangkang sejati. Kelebihan beliau ialah setiap perkara yang dilakukan oleh kerajaan ada sahaja yang tidak betul dan akan dijadikan bahan untuk menyerang balik kerajaan.

Mahfuz ibarat seekor ular tedung hitam yang cukup garang dan sentiasa menyembur bisanya terhadap musuh. Mahfuz lebih lantang berbanding calon Pas sendiri Mohd Azam Samat yang agak lurus politiknya, apatah lagi latar belakang Azam sebagai guru di sekolah agama.

Mahfuz dengan lantang memperlekehkan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang dikatakan gagal setelah lima bulan menjadi Menteri Besar. Pada masa sama Mahfuz terlupa bahawa Pas pernah memerintah selama lima tahun di Kedah.

Mahfuz menyifatkan Mukhriz sebagai `mamai' atau tidak dapat berfikir dengan jelas selaku Menteri Besar. Menurut Mahfuz, memang menjadi tanggungjawab menteri besar untuk melaksanakan pembangunan di seluruh negeri dan tidak perlu menunggu PRK.

Bila ditanya bagaimana calon pembangkang hendak menunaikan janjinya termasuk memperbaiki jalan dan menyediakan kemudahan WiFi jika terpilih menjadi wakil rakyat Sungai Limau, Mahfuz berkata, bukan kerja wakil rakyat melaksanakan projek pembangunan,

Apa yang boleh dilakukan ialah mengemukakan cadangan kepada kerajaan serta agensi kerajaan berkaitan. Yang melaksanakan projek tersebut ialah kerajaan negeri dan agensi kerajaan terbabit.

Persoalannya bagaimana pula wakil rakyat berkenaan hendak memastikan cadangan serta kertas kerjanya mendapat perhatian kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan? Keutamaan tentulah diberi kepada kawasan yang diwakili wakil rakyat yang datang daripada parti yang sama alirannya.

Allahyarham Tan Sri Azizan Razak bekas Menteri Besar Kedah yang mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tetap sukar untuk membangunkan Kedah.

Setakat hubungan baik sahaja tidak mencukupi. Kedah di bawah pemerintahan Pas mengalami masalah kewangan yang kritikal.

Bagaimanapun apabila BN kembali memerintah Kedah, Mukhriz kini mendapat sokongan padu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pelbagai peruntukkan tambahan diberikan untuk projek pembangunan di Kedah.

Contoh paling jelas Mahfuz sendiri terpaksa merayu kepada kerajaan supaya mengisytiharkan cuti pada 4 November ini bagi membolehkan pengundi luar pulang mengundi di PRK Sungai Limau.

Apa yang boleh dibuat oleh pembangkang ialah mencadangkan, merayu dan mendesak. Keputusan akhir tetap terletak di tangan kerajaan yang memerintah.


Begitu jugalah dengan penduduk di Sungai Limau. Sudah lima penggal mereka memberi kepercayaan kepada Pas.

Jika selama ini mereka ketinggalan daripada arus pembangunan, mereka tidak seharusnya menyalahkan kerajaan. Mereka sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana membuat pertimbangan yang tidak bijak.

Tidak ada dosa jika memilih BN dan tidak ada jaminan syurga jika memilih Pas. UMNO juga memperjuangkan Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan parti itu.

Ramai pemimpin UMNO kalangan ustaz, tetapi mereka tidak menjual agama untuk meraih keuntungan di dunia.

Inilah masa yang paling sesuai untuk mereka beralih arah. Jika sebelum ini mereka mengundi di dalam pilihan raya umum, Sungai Limau tidak diberi perhatian. Tetapi kali ini mereka mengundi di dalam pilihan raya kecil dan Sungai Limau menjadi perhatian seluruh negara.

Jika sebelum ini ramai yang tidak tahu di mana letaknya Sungai Limau, kerana nama yang sama juga terdapat di tempat-tempat lain. Kini Sungai Limau, Yan terkenal di seluruh negara dan inilah peluang untuk penduduk Sungai Limau untuk membuka lembaran baru dengan memilih wakil rakyat dari kalangan parti yang memerintah di peringkat negeri dan pusat.

Menjadi pembangkang memang mudah. Pembangkang tidak perlu melakukan pembangunan. Rakyat tidak mengharapkan imbuhan daripada pemimpin pembangkang kerana dianggap tidak mempunyai wang, walaupun hakikatnya sebaliknya.

Jadi apabila pemimpin BN melawat kawasan dan memberi wang dan bantuan kepada rakyat yang berharap mereka dituduh mengamalkan politik wang. Apabila Pas mengutip wang daripada orang ramai semata-mata untuk cita-cita politik mereka, tidak pula dianggap memeras rakyat.

Apabila kerajaan memberi bantuan kepada rakyat dianggap merasuah rakyat. Apabila kerajaan mengutip cukai untuk membangunkan negara, kerajaan dituduh menganiaya rakyat.

Jika Pas mengutip wang daripada orang ramai setiap kali mengadakan ceramah tanpa ada pihak yang mengauditnya tidak pernah pula dipertikaikan.

Sepanjang PRK Sungai Limau ini setiap malam jumlah ceramah tidak terhitung banyaknya. Tidak terhitung juga banyaknya orang ramai terpaksa menyumbang kepada tabung Pas. Sudahlah makanan tidak disediakan dan terpaksa membeli kacang rebus, laksa, mee hun sup dengan duit kocek sendiri, terpaksa pula menyumbang kepada tabung.

Semasa program Yayasan Felda orang ramai diberi minyak masak, bantuan cermin mata, pemeriksaan perubatan dan bantuan RM5,000 untuk memperbaiki rumah. Semasa program Timbalan Perdana Menteri orang ramai diberi baja, anak pokok dan anak ayam.

Memang sudah menjadi tradisi pemimpin BN yang sentiasa memberi. Walaupun ada yang mengambil tetapi tidak pernah bersyukur atau berterima kasih.

Tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Untuk menjadi tangan yang memberi perlulah berusaha meningkatkan kemampuan ekonomi. Itulah yang dilakukan oleh BN.

Sebab itu jugalah Pas tidak akan dapat memerintah negara ini sampai bila-bila kerana mereka adalah kalangan tangan yang menerima sahaja dan darjat mereka tidak akan diangkat lebih tinggi oleh Allah. - UMO












Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: