Khamis, Oktober 17, 2013

Tuntutan LGBT : Syor masjid, surau baca qunut nazilah?


Masjid dan surau seluruh negara disyor mengadakan bacaan qunut nazilah dan solat hajat selepas solat Isyak, mendoakan kedudukan Islam dipelihara semasa sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland, 24 Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga diarah melakukan perkara yang sama serta-merta sehingga UPR selesai.

Beliau yang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci, berkata demikian dalam satu kenyataan semalam, bagi mengulas tindakan pihak tertentu yang didakwa telah menyediakan satu laporan berkaitan hak asasi manusia di Malaysia untuk dibentang kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva nanti


Tuntutan boleh dipersoal

Kandungan laporan itu antara lain menyentuh hak kebebasan beragama dan meminta Malaysia mengiktiraf hak berlandaskan ‘SOGI-Sexual Orientation & Gender Identity’ (Identiti Jantina dan Orientasi Seksual) iaitu hak LGBTIQ (Lesbian, Bisexual, Gay, Transgender, Inter-sexed & Queer-persons).

Jamil Khir berkata, tuntutan yang dikemukakan pihak berkenaan adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan kewajarannya memandangkan ia bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Polimik gugat Islam

“Segala peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati setiap warga negara di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata, sebarang isu atau polemik yang boleh mengganggu-gugat kedudukan agama Islam amat tidak wajar ditimbulkan oleh mana-mana pihak dalam apa juga forum.


INFO: Semakan Berkala Sejagat (UPR)

* Proses semakan ke atas semua 193 negara di bawah PBB terhadap kepatuhan kepada beberapa ketetapan oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) yang diluluskan pada 3 Mac 2006.

* Diadakan setiap empat setengah tahun bagi menilai rekod hak asasi manusia sesebuah negara anggota PBB secara berkala.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: