Jumaat, November 22, 2013

Soksek-soksek akhbar Cina : Sejak bila pula orang Cina suka pada kesusasteraan Melayu?


Suburkan semangat Usman Awang?

Isu mengenai perpaduan nasional turut disentuh oleh akhbar Nanyang Siang Pau dalam artikel bertarikh 17 November 2013.

Artikel yang ditulis oleh Pengarah Urusan Hai-O yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) Kluang, Tan Khai Hee bertajuk ‘Tumbangkan tembok rasis’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C8.

Usman Awang adalah sasterawan Melayu terkenal di seluruh tanah air. Beliau seorang sasterawan yang dikenali ramai oleh pelajar dan cendekiawan.

Hua Zong melihat perjuangan Usman Awang seperti sebutir mutiara yang tidak akan luntur keindahan warnanya, sinar cahaya yang dikeluarkan itu menyinar di seluruh negara ini.

Ayat-ayat dalam sajak Usman Awang telah merentasi benteng dan dinding kaum. Beliau adalah seorang pejuang dan pahlawan. Dalam keadaan tidak membezakan antara kaum, agama, kasta, keturunan dan kepercayaan politik, beliau mempertahankan hak asasi kemanusiaan, kebebasan dan keadilan.


Usman Awang bukan seorang pejuang satu kaum sahaja, sebaliknya beliau menolak fahaman kasta dan keturunan.

Dalam keadaan zaman bergelora, Usman Awang sentiasa menggunakan bahasa yang lembut bagi meluahkan hasratnya yang mahu melihat wujudnya perpaduan. Sajak beliau dengan jelas menyatakan perlunya dibina dunia yang penuh dengan perpaduan, aman dan sentosa.

Sehubungan itu, Hua Zong telah mewujudkan piala pertandingan bertajuk Perpaduan Rakyat Usman Awang. Pertandingan ini boleh menggalakkan orang ramai berjuang bersama Usman Awang bagi mencipta satu bangsa Malaysia.

Kita perlu mencipta bangsa Malaysia sebenar yang dapat mencampak sejauh-jauhnya fahaman cauvinis dan rasis. Langkah ini dilakukan kerana Hua Zong melihat keadaan politik di negara kita semakin hari semakin merisaukan.

Kita perlu mula bertindak dari sekarang. Tubuhkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk mewujudkan nilai-nilai murni.

Kumpulan intelektual dan bijak pandai perlu memainkan peranan ini, begitu juga kumpulan agama kerana tiada satu pun agama yang tidak mengajak kita untuk melakukan perkara baik seperti mewujudkan keadilan dan keamanan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: