Rabu, Disember 25, 2013

Sandiwara dalam Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Selangor?


Benarkah ahli Parlimen Pas tidak setuju kerajaan negeri naik kadar lesen niaga atau nak menunjukkan yang mereka buat kerja untuk rakyat dan tak makan gaji buta?

Langkah kerajaan negeri melalui Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) menaikkan kadar lesen perniagaan dan perindustrian dibantah oleh ahli Parlimen daripada pakatan pembangkang sendiri yang menyifatkannya sebagai terlalu tinggi dan tidak munasabah.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, kenaikan tersebut tidak sepatutnya dilakukan ketika rakyat dibebani dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

Sehubungan itu beliau mendesak MBSA menarik balik keputusan menaikkan kadar lesen berkenaan dan mendapatkan maklum balas daripada rakyat terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

''MBSA perlu mengadakan perbincangan yang teliti dan tersusun, kita berharap MBSA dan Datuk Bandar Shah Alam dapat menarik balik pelaksanaan kenaikan itu.

''Sebagai pihak berkuasa tempatan yang telus dan berkesan dalam melaksanakan tugas, MBSA perlu memberikan perkhidmatan terbaik dan bukannya bertindak menindas rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang peniaga yang tidak berpuas hati dengan kadar baru lesen perniagaan yang meningkat sebanyak 300 peratus.

''Ini amat membebankan peniaga apatah lagi notis yang diberikan terlalu singkat iaitu pada 9 Disember lalu dan perlu dilunaskan pada 31 Disember, jika gagal, denda sebanyak 10 peratus daripada kadar lesen pula dikenakan," katanya.


Khalid turut mempertikaikan keputusan MBSA mengenakan tiga jenis cukai bagi satu premis dan menyifatkannya sebagai tidak wajar.

Kata beliau, pengadu yang sebelum ini hanya dikenakan bayaran sebanyak RM360 setahun bagi industri kraftangan namun bagi 2014 kadar tersebut telah meningkat apabila dikenakan bayaran lesen industri kraftangan (membuat/proses) sebanyak RM360, industri kraftangan (borong/simpan) pula sejumlah RM400 serta patil (RM7) menjadikan keseluruhannya sebanyak RM1,127.

''Kita mahu MBSA meneliti kembali cara pengiraan kadar tersebut. Bagi saya adalah tidak wajar tiga jenis cukai dikenakan pada satu premis yang sama, cara pengiraan perlu dibincangkan dan dijelaskan mengapa.

''Apa rasionalnya kadar ditetapkan sedemikian, sudah pasti setiap industri mempunyai ruang menyimpan, proses serta menjualnya. Saya harap ini dapat diselesaikan segera untuk kebaikan peniagaan dan penduduk Shah Alam," katanya.

Khalid turut menggesa MBSA mengambil tindakan segera kerana keputusan tersebut bukan sahaja membebankan peniaga malah kenaikan lesen perniagaan mungkin memberikan kesan terhadap pengguna.

Sebelum ini, MBSA menafikan sengaja menaikkan kadar atau yuran lesen perniagaan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu secara mendadak.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Jaafar Mohd. Atan dipetik sebagai berkata, pihaknya hanya membuat pelarasan kadar tersebut yang sepatutnya dinaikkan enam tahun lalu, selaras dengan pelaksanaan Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBSA) 2007.

''Kami tidak menaikkan kadar fi (lesen perniagaan) sewenang-wenangnya dan kadar itu sepatutnya sudah dinaikkan enam tahun lalu, cuma pada tahun 2014 dapat dikuatkuasakan," katanya.

Mengenai fi lesen perniagaan penjaja, MBSA dilaporkan tidak akan menguatkuasakan Undang-undang Kecil Penjaja 2007 yang bermakna tidak akan berlaku kenaikan kadar fi lesen bagi perniagaan berkenaan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: