Ahad, Januari 12, 2014

Kerajaan PKR gagal pertahan Islam di Selangor...!!! Kedegilan BSM mahu guna kalimah Allah cabar kesabaran umat Islam?



Walaupun memahami kemarahan umat Islam berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan sudah termaktub dalam undang-undang negeri Selangor bahawa Bible versi Bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah tidak boleh diedarkan di negeri itu, Persatuan Bible Malaysia (BSM) tetap berdegil.

Kelmarin, Presiden BSM, Lee Min Choon yang seolah-olah tidak mempedulikan perasaan umat Islam menyatakan persatuan itu tetap akan mengedarkan kitab tersebut yang mempunyai kalimah Allah di Selangor walaupun ia bertentangan dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 di negeri tersebut.

Lebih dikesalkan, Min Choon juga dengan sewenang-wenangnya menegaskan, Bible telah menggunakan kalimah Allah sejak 200 tahun lalu iaitu sebelum enakmen itu diwujudkan lagi dan menyifatkan enakmen berkenaan sebenarnya hanya mewujudkan keadaan yang kompleks.

Sememangnya buat kali kedua, perasaan umat Islam dipancing dan hati mereka bagaikan disiat-siat kerana 48 jam sebelum itu, Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew turut berdegil dengan mempertahankan pendiriannya meminta gereja-gereja di Selangor menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.


Hebat sekali, dua individu ini, mereka dilihat seolah-olah mahu mencabar kesabaran umat Islam dalam berhadapan isu kalimah Allah. Mereka sama sekali tidak mempedulikan kemarahan umat Islam, tidak mengendahkan titah Sultan Selangor dan menolak ke tepi peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Kita akui memang dalam perkara 10 yang dipersetujui oleh Kerajaan Pusat yang membenarkan import, penggunaan dan pencetakan Bible versi bahasa Melayu di negara ini, tetapi ia ada batasnya. Ini memandangkan 10 perkara itu bukan undang-undang apatah lagi Perlembagaan. Mahu tidak mahu 10 perkara itu tetap terikat dengan undang-undang sesebuah negeri.

Begitu jugalah di Selangor, oleh itu kenapakah BSM masih berdegil mahu mengedarkan Bible versi bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah di negeri tersebut? Kenapakah BSM tidak mahu mematuhi undang-undang sedia ada? Kenapakah mahu berdegil sehingga ia boleh membangkitkan kemarahan umat Islam?

Mungkin BSM akan marah jika ada pihak mempersoalkan apakah mereka mempunyai niat tertentu sehingga sanggup mengambil tindakan yang dilihat meminggirkan titah Sultan Selangor dan mengenepikan enakmen sedia ada.


Kalau mereka tidak mempunyai apa-apa niat kenapakah masih mahu mempertahankan satu tindakan yang mereka sendiri ketahui ia akan memancing emosi umat Islam?

Sebenarnya, pendirian BSM dan ditambah pula dengan kedegilan Andrew hanya akan mengeruhkan keadaan. Isu penggunaan kalimah Allah ini boleh diselesaikan secara harmoni jika BSM dan Andrew tidak menunjukkan sikap ‘keras kepala’ mereka.

Apa yang menjadi persoalan, kenapakah BSM berkeras dan Andrew berdegil? Apakah motif mereka? Jika kedua-dua pihak itu merasakan tindakan mereka akan disokong oleh pihak tertentu khususnya daripada parti politik tertentu maka umat Islam juga berhak bangkit untuk menentang kedegilan mereka.

Malah mereka juga tidak boleh marah dengan ketegasan JAIS. Atas sebab itulah, jabatan itu tidak harus tunduk dengan apa juga tekanan terutamanya berhadapan dengan BSM. Jabatan itu harus terus tegas melaksanakan usaha bagi menjaga kesucian Islam dan akidah umat Islam.


Biarlah Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan dan mengeluarkan arahan berdasarkan perhitungan politik tetapi JAIS mempunyai tanggungjawab menjaga hal ehwal Islam.

Namun BSM harus diperingatkan bahawa umat Islam tidak pernah melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti bukan Islam termasuklah penganut Kristian. Oleh itu belajarlah untuk memahami sensitiviti orang Islam sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

Kedegilan BSM tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya ia hanya akan mengakibatkan keharmonian kaum dan agama di negara ini terjejas, apatah lagi di Selangor yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Kepada umat Islam pula, bersatulah dalam menghadapi isu kalimah Allah ini. Janganlah sampai kita menjadi seperti mana sabda Rasulullah SAW, biar pun umat Islam itu ramai namun ia umpama buih-buih di lautan sahaja.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: