Jumaat, Februari 07, 2014

PKR ketepi prinsip demi penuhi ‘impian’ seorang individu yang tak sedar diri?


Langkah PKR mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim bertanding di situ mempamerkan wajah sebenar parti itu yang sanggup mengetepikan semua prinsip kononnya asas perjuangan parti, semata-mata kerana kepentingan seorang individu.

Walau apapun diperjelaskan oleh pemimpin PKR mengenai kewajaran tindakan itu, sebahagian besar rakyat terutama yang mengikuti sejarah politik Anwar sejak 30 tahun lalu percaya ia adalah sandiwara terbaru pemimpin pembangkang berkenaan untuk mengalih perhatian daripada masalah peribadinya, sekali gus menjadikannya terus relevan dalam politik negara.

Terlalu banyak kenyataannya yang sentiasa bercanggah sepanjang menjadi ahli politik, sama ada ketika dalam kerajaan dulu atau mengetuai barisan pembangkang sekarang.

Malah, ketika berita bahawa beliau akan bertanding di Kajang sebaik Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai wakil rakyat Isnin lalu, Anwar dan beberapa pemimpin PKR menafikan beliau akan bertanding sebelum mengesahkan keesokannya.

Anwar berdalih

Anwar juga masih mengelak untuk mengesahkan beliau akan menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim jika menang Pilihan Raya Kecil Kajang nanti. Namun, tentulah tiada yang percaya beliau hanya mahu menjadi ADUN biasa selepas ‘memaksa’ Chin Cheh berundur tanpa sebab munasabah.

Barangkali teori bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mengenai sebab sebenar Anwar bertanding di DUN Kajang mempunyai kebenarannya. Menurut Zulkifli, pengosongan DUN Kajang bertujuan membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor tercapai, sekali gus menyelamatkan beliau daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.


Anwar kini berdepan rayuan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dijadual didengar di Mahkamah Rayuan pada 11, 12 dan 13 Februari ini, dengan pihak pendakwaan diwakili oleh peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

“Risiko dipenjarakan dan impian menjadi Perdana Menteri ketujuh hancur lebur. Pada usia 67 tahun, Anwar tidak mungkin boleh menerima hukuman penjara yang panjang. Ini mesti dipintas dalam cara apa sekalipun,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zulkifli yang pernah menjadi peguam Anwar berkata, jika ketua pembangkang itu menjadi Menteri Besar Selangor, sebarang keputusan mahkamah yang tidak menyebelahinya akan dijadikan isu untuk menagih simpati penyokong.

Strategi ‘tawan’ Putrajaya

Seorang lagi bekas teman rapat Anwar, Dr Chandra Muzaffar pula berpendapat, ‘sandiwara’ Kajang itu adalah strategi PKR untuk mengaburi pengundi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi menawan Putrajaya.

“Dengan menjadi Menteri Besar, dia akan berlagak menonjolkan imej baik bagi mempengaruhi pengundi dan rakyat. Apa yang paling penting, dia mahu menonjolkan diri supaya cara pentadbirannya akan dibandingkan dengan Perdana Menteri. Ini semua strategi mengaburi pengundi sebagai persediaan PRU-14,” katanya.


Apa pun matlamat sebenar Anwar dan PKR, yang jelas parti itu bukan saja mempermainkan sistem demokrasi tetapi mengambil mudah sokongan pengundi terutama berketurunan Cina di Kajang yang memberi kemenangan kepada Chin Cheh pada Pilihan Raya Umum lalu.

PKR juga mengambil mudah perasaan dua lagi sekutunya PAS dan DAP yang mempunyai lebih banyak kerusi di DUN Selangor apabila pengosongan kerusi Kajang mengejutkan pemimpin kedua-dua parti itu.

Dalam kata lain, keyakinan PKR dan Anwar yang terlalu tinggi bahawa ahli PAS dan DAP pasti memberi sokongan dalam apa jua tindakan mereka, menyebabkan perasaan dan persetujuan dua sekutunya itu bukanlah satu keutamaan.

Benarkah penyokong PAS dan DAP, khususnya di Kajang sanggup diperlakukan sedemikian rupa semata-mata bagi memenuhi agenda satu parti dan seorang pemimpin? Persoalan ini hanya akan terjawab pada Pilihan Raya Kecil nanti.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: