Selasa, April 15, 2014

Hudud : Pas Kelantan tidak berganjak?


Kerajaan Pas Kelantan tetap akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

Pendirian itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang turut memberi gambaran jelas bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan sekali-kali berganjak daripada keputusan tersebut.

"Keputusan (untuk membentangkan rang undang-undang) kita sudah buat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (KPKK) di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini .

Ahmad sebelum itu ditanya tentang kenyataan para pemimpin DAP yang menegaskan parti terbesar dalam pakatan dengan 38 ahli Parlimen tersebut tidak akan menyokong rang undang-undang yang mahu dikemukakan Pas.

Malah, nada sama turut dinyatakan seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila mengingatkan Pas bahawa pakatan pembangkang telah membuat keputusan jelas berhubung isu hudud pada 2011.

Tentangan tersebut timbul selepas Ahmad mengumumkan hasrat kerajaan negeri membentangkan usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Parlimen akan datang bagi mendapat kebenaran melaksanakan hudud di negeri itu menjelang 2015.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KPKK, Mohd. Adnan Mohd. Zin mendedahkan bahawa Ahmad ketika pertemuan tersebut menegaskan kepada mereka bahawa beliau tetap akan melaksanakan undang-undang Islam di negeri itu.

"Dalam pertemuan kita tadi, Menteri Besar kata, by hook or by crook (dengan apa cara sekali pun), apa halangan apa rintangan, kita tetap berusaha ke arah itu.

"Biar kita dihalang daripada menjalankan hukum Allah, masa itu kita akan tahu siapa yang hendak buat (hudud) dan siapa yang menghalang," katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Teknikal Hudud diarah tutup mulut!

Semua individu yang menganggotai Jawatankuasa Teknikal Hudud diarah mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Moha-mad yang juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa tersebut berkata, arahan itu dikeluarkan dalam satu mesyuarat jawatankuasa yang diha-diri beliau baru-baru ini.

Pada masa ini, kata-nya, hanya dua individu dibenarkan mengeluarkan kenyataan mengenai hudud iaitu Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

"Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa, saya tidak ada sebarang ulasan untuk anda bagi menghormati keputusan mesyuarat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan pemimpin DAP yang menegaskan parti terbesar dalam pakatan dengan 38 ahli Parlimen tersebut tidak akan menyokong rang undang-undang yang mahu dikemukakan Pas dalam sidang Parlimen.

Malah pendirian sama turut dinyatakan seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila mengingatkan Pas bahawa pakatan pembangkang telah membuat keputusan jelas berhubung isu hudud pada 2011.

Sementara itu, Ahmad dalam reaksi balas hari ini berkata, perkara itu telah diputuskan sekali gus memberi gambaran bahawa pendirian kerajaan negeri tidak akan berganjak biarpun menerima tentangan rakan sekutunya sendiri dalam pakatan pembangkang.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: