Khamis, Mei 15, 2014

Saya bukan pengkhianat parti - Ahmad Said?


Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan beliau bukan pengkhianat kepada UMNO, sebaliknya membuktikan kecintaan terhadap parti itu dengan kembali semula.

Menurutnya, jika benar seperti yang dituduh, beliau yang memutuskan keluar parti tidak akan menolak tawaran Pas yang cuba mengambil kesempatan dengan bergegas menemuinya untuk bersama parti itu agar dapat kembali memerintah Terengganu.

“Pas datang cepat sungguh (selepas) saya buat keputusan. Betul tak, Pas datang, saya tidak mahu bertemu lagi sebab itu 'stay' (kekal) tiga (ADUN yang umum keluar) walaupun ada lebih lagi.

“Kalau empat (ADUN), Pas boleh saja (peluang ambil alih) sebab itu isytihar tiga sahaja," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Telok Kalong dekat sini hari ini.

Beliau yang mengesahkan telah menarik balik keputusan keluar daripada UMNO bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib seterusnya menegaskan, kontroversi yang tercetus sejak malam kelmarin sudah selesai.

Menurut Ahmad, tindakan awal yang diambilnya berpunca daripada salah faham dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga merasakan maruahnya terjejas, namun dalam pertemuan hari ini, beliau telah memohon maaf atas keterlanjuran itu.

“Kami saling minta maaf, justeru, sebagai orang UMNO sejak berumur 18 tahun, saya buat keputusan menarik balik peletakan jawatan saya selaku ahli UMNO. Begitu juga Ghazali Taib, kes ini selesai, semuanya selesai," katanya.

Ahmad mengakui berlaku se­dikit ketegangan antara beliau dengan Najib pada pertemuan awal mereka yang difahamkan menyentuh mengenai penangguhan peletakan jawatannya sehingga selesai urusan majlis perkahwinan anak­nya yang akan diadakan di sini dan Kuala Lumpur tidak lama lagi.

“Masa itu tercetus sedikit tegang selepas saya beritahu PM bahawa majlis perkahwinan anak saya pada 17 Mei ini yang akan berlangsung di kediaman kami di Telok Kalong.

Tetapi Perdana Menteri kata itu masalah dan soal personal (peribadi). Ini melibatkan anak saya dan maruah saya sehingga saya mengambil keputusan meletak jawatan dalam UMNO dan keluar daripada parti.

“Akhirnya sebagai pemimpin berjiwa besar, Perdana Menteri akui sama ada sedar atau tidak, dia tak ingat anak saya kahwin pada 17 Mei. Dia ingatkan anak saya kahwin 10 haribulan (Mei)," katanya.

Ahmad seterusnya memberi jaminan untuk terus memberi sokongan kepada perjuangan UMNO bersama kepemimpinan negara dan negeri.

“Disebabkan saya sayangkan UMNOlah saya tarik balik keputusan saya untuk keluar parti," jelasnya yang berjanji untuk memberi kerjasama dan menyokong kepemimpinan Menteri Besar yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad juga berkata, beliau tidak menyimpan dendam dengan sesiapa dan beliau sedia bertolak-ansur dengan mereka yang berlembut dengannya.

“Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Bagi saya mudah, orang buat baik dengan saya, saya buat baik, orang lembut saya lembut. Saya tidak boleh orang berkasar dengan saya," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: