Sabtu, Mei 31, 2014

Upacara pemakaman penuh istiadat.

Tuanku Bainun menyiram air mawar di pusara Almarhum Sultan Azlan di Makam Bukit Chandan, Kuala Kangsar, semalam.

Kuala Kangsar: Jenazah Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dimakamkan di Makam Diraja bersebelahan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, di sini semalam dengan mengikut istiadat Diraja Perak.

Hujan renyai sebaik majlis pemakaman selesai jam 6.40 petang semalam seperti turut menangisi pemergian Sultan berjiwa rakyat yang sangat disayangi rakyat jelata.
Majlis dihadiri balu baginda, Tuanku Bainun dan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta Tuanku Zara Salim.

Yang turut berangkat, Raja Di-Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan isteri Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan kerabat serta keluarga diraja Perak lain.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut mengiringi jenazah hingga ke Makam Diraja.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.



Sebaik dimakamkan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membacakan talkin dan memimpin bacaan doa serta tahlil.

Sebelum itu, jenazah diusung oleh 40 orang menggunakan Siraja Diraja berwarna kuning yang mempunyai enam payung kecil di atasnya, diiringi 16 jejawat yang membawa payung diraja serta alunan nobat nafiri, sehingga ke Makam Diraja.

Dimakam selepas solat Asar Perjalanan jenazah sejauh kira-kira satu kilometer diiringi tembakan meriam sebanyak 86 das.

Jenazah disembahyangkan dan dimakamkan selepas solat Asar.

Ribuan rakyat jelata pelbagai bangsa, keturunan, usia dan agama turut menunggu di kiri dan kanan jalan sepanjang Siraja Diraja diusung ke perhentian terakhir di Makam Diraja.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’dzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hamimah, menjadi ketua negara utama, hadir bagi memberikan penghormatan terakhir, selain sultan dan raja Melayu lain.

Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah pula antara ketua kerajaan negara asing yang hadir, selain wakil Kerajaan Singapura, Dr Vivien Balakrishnan serta Duta Kemboja, Puteri Norodom Arunrasmy serta beberapa perwakilan asing.

Kira-kira jam 8.55 pagi, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim masuk ke Balairong Seri bersama rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang kembali ke sebentar dari China bagi memberi penghormatan terakhir terhadap Almarhum.

Rakyat jelata beri penghormatan terakhir

Najib dan Rosmah kemudian berbual seketika dengan Raja Nazrin dan Tuanku Zara sebelum beredar kira-kira lima minit kemudian.

Balairong Seri kemudian dibuka kepada rakyat jelata untuk penghormatan terakhir bermula pada jam 9.05 dengan ada daripada mereka yang hadir seawal jam 8 pagi.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, adalah Raja terawal tiba jam 10.40 pagi. Beberapa orang kenamaan turut hadir, termasuk menteri dan timbalan menteri, tokoh korporat, pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pemimpin politik kerajaan dan pembangkang.

Sehingga jam 1 tengah hari, orang ramai masih berpusu-pusu ke Istana Iskandariah walaupun waktu untuk rakyat jelata sepatutnya berakhir pada jam 11.30 pagi.

Malah, pihak istana membenarkan rakyat yang datang tanpa pakaian ditetapkan iaitu serba gelap, hadir memberikan penghormatan selaras dengan kedudukan kesultanan Perak yang mesra dan berjiwa rakyat.

Sultan Nazrin yang kelihatan sebak kelihatan sabar menunggu di sisi jenazah ayahandanya bagi bersalam dengan mereka yang hadir atau kedudukan mereka.

Muhyiddin pula tiba jam 1.30 petang diiringi Zambry. Beliau berada di Istana Iskandariah sehingga istiadat pengisytiharan Sultan Perak yang baharu serta jenazah Almarhum disembahyangkan.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Kalsom; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuan Munawir dan Tuanku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V serta Sultanah Johor, Sultanah Zarith Sofia antara Raja yang menziarahi jenazah Almarhum.

Yang turut sama, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud. -BHO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: