Khamis, Julai 03, 2014

Adakah bekalan kuasa MH370 diganggu?

Gambar bertarikh 12 April lalu yang dikeluarkan Jabatan Pertahanan Australia menunjukkan kapal HMAS Perth berada di Lautan Hindi dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370.

Biro Keselamatan Pengangkutan Austalia melakukan siasatan terhadap kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mungkin menemui bukti baharu yang menunjukkan berlakunya gangguan peralatan elektrik di kokpit pesawat pada awal penerbangan, sekali gus meningkatkan kemungkinan sistem pesawat itu sengaja diubah bagi mengelak dikesan radar.

Biro tersebut dalam laporannya pada Khamis lalu menyebut, unit data satelit pesawat Boeing 777 itu membuat permintaan 'log-on' secara tidak dijangka kepada satelit kira-kira 90 minit setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.

Jelas laporan tersebut, permintaan log-on itu, yang juga dikenali sebagai 'handshake', kemungkinan berpunca akibat berlakunya gangguan kuasa elektrik di dalam pesawat.

"Permintaan log-on semasa penerbangan bukan perkara biasa. Analisis yang dilakukan mendapati situasi dan masa permintaan log-on sepadan dengan waktu gangguan kuasa berlaku," jelas laporan itu.

Bukti terbaharu itu sekali lagi meningkatkan kemungkinan wujudnya unsur jenayah dalam misteri kehilangan MH370 dan menunjukkan laluan pesawat terbabit sengaja diubah.

Dalam pada itu, pakar keselamatan penerbangan daripada Universiti Loughborough, David Gleave, berkata, gangguan kuasa elektrik itu menunjukkan ada individu di dalam kokpit cuba mengurangkan penggunaan sistem pesawat.

Malah katanya, tindakan tersebut juga konsisten dengan cubaan untuk menutup sistem komunikasi dan sistem lain sebagai cubaan mengelak daripada dikesan radar.

"Mungkin ada pihak melakukan sesuatu di dalam kokpit sehingga menyebabkan berlakunya gangguan elektrik dengan tujuan mahu memadamkan kedua-dua enjin dalam tempoh tertentu.

"Dengan berlakunya gangguan di dalam kokpit, kuasa elektrik boleh dipadamkan buat sementara dan memasangnya semula apabila memerlukan sistem lain untuk menerbangkan pesawat," katanya ketika dihubungi akhbar The Telegraph.

Teori baharu berkenaan dikukuhkan lagi apabila syarikat rasmi yang ditugaskan menganalisis data penerbangan MH370, Inmarsat mengesahkan dakwaan berlakunya gangguan bekalan kuasa sebanyak dua kali tetapi gagal mengenal pasti punca sebenar.

"Inmarsat masih tidak dapat menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di dalam kokpit dan punca sebenar bekalan kuasa pesawat MH370 terganggu," kata Timbalan Presiden Inmarsat, Chris McLaughlin.

Laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Austalia mendedahkan bahawa pesawat yang membawa 239 penumpang dan krew itu, cuba log on ke satelit Inmarsat pada 2.25 pagi, tiga minit selepas ia dikesan oleh radar tentera Malaysia.

Haluan pesawat terbabit kemudiannya berubah ke arah utara pulau Sumatera walaupun destinasi asalnya ke Beijing dan menuju ke selatan Lautan Hindi.

Selepas hampir enam jam, pesawat itu kemudiannya membuat satu lagi permintaan log-on yang ketujuh dan handshake terakhir, yang dipercayai dihantar untuk menunjukkan pesawat berkenaan kehabisan minyak dan kuasa elektrik sebelum hilang di selatan Lautan Hindi.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: