Sabtu, Ogos 23, 2014

Kesal memfitnah, Nurul Izzah mohon maaf kepada Raja Nong Chik?

Nurul Izzah menangis sewaktu membuat kenyataan memohon maaf kepada Raja Nong Chik

Kes saman bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin terhadap Nurul Izzah Anwar dan dua yang lain, selesai selepas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mengemukakan kenyataan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Nurul Izzah berhubung pembelian tanah di Bukit Kiara.

"Saya kesal dengan kenyataan itu dan berjanji untuk tidak akan mengulangi kenyataan tersebut atau apa-apa kenyataan berkaitan dengan penerbitan kenyataan saya itu," katanya ketika membacakan kenyataan maaf itu.

Nurul Izzah berkata, terdapat kesilapan di dalam kenyataan media yang dibuat olehnya pada petang 4 Mei tahun lalu, sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang telah menjejaskan nama baik dan reputasi Raja Nong Chik sebagai seorang ahli politik, akauntan bertauliah, ahli perniagaan, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ketika itu, serta ahli keluarganya.

Terdahulu, peguam M. Reza Hassan yang mewakili Raja Nong Chik berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan berdasarkan terma penyelesaian yang dipersetujui, dan defendan pertama (Nurul Izzah) akan membacakan kenyataan maaf beliau di mahkamah terbuka. - BERNAMA

Peguam Edmund Bon mewakili Nurul Izzah dan peguam A. Lourdes Abishegam yang mewakili Mkini Dotcom Sdn. Bhd., pemilik portal berita Malaysiakini serta wartawan Malaysiakini, Lu Wei Hoong juga mengesahkan penyelesaian kes itu.


M. Reza turut memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya akan menarik balik saman terhadap wartawan Malaysiakini berikutan defendan kedua (Mkini Dotcom) akan menyiarkan kenyataan Nurul Izzah itu di laman sesawang Malaysiakini dalam tempoh tujuh hari.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed merekodkan penghakiman persetujuan tanpa sebarang perintah kos dan memerintahkan defendan kedua menyiarkan kenyataan maaf itu.

Sebelum prosiding itu berakhir, Hakim Nik Hasmat mengucapkan tahniah kepada pihak berkenaan yang menyelesaikan kes berkenaan secara baik.

Pada 17 Julai tahun lalu, Raja Nong Chik memfailkan saman terhadap Nurul Izzah serta dua lagi kerana mendakwa Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr. Ismail di sini, iaitu sehari sebelum PRU-13.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Nong Chik mendakwa kenyataan Nurul Izzah diterbitkan dalam laman sesawang Malaysiakini pada hari sama iaitu 4 Mei tahun lalu.

Beliau mendakwa, penerbitan kenyataan itu menyebabkan reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator yang dihormati di negara ini telah terjejas teruk.

Sementara itu, di luar mahkamah, Raja Nong Chik memaklumkan pemberita bahawa beliau bersyukur kerana akhirnya kes berkenaan dapat diselesaikan.

"Alhamdulillah, setelah hampir setahun kes ini dapat diselesaikan dan sempena bulan yang baik ini (bulan Syawal), saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kes dan meminta pampasan.

"Saya juga berpendapat kita harus bersatu kerana negara kita kini dalam suasana berkabung sempena memperingati tragedi MH17," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: