Ahad, Ogos 03, 2014

Pakar fitnah PKR, Rafizi tuduh pemimpin Pas khianat?


Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa mesej kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat tentang senario yang dijangka berlaku sekiranya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang menggambarkan kewujudan unsur-unsur khianat dalam kalangan pimpinan tertinggi parti tersebut.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pendapat dan sentimen yang dinyatakan oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dalam mesej yang dipercayai dibocorkan oleh seorang pemimpin Pas itu bercanggah dengan janji-janji yang dimeterai parti tersebut dalam pakatan pembangkang.

Malah, menurut beliau, kenyataan perkauman songsang yang dibawa oleh Mohd. Zuhdi telah merosakkan pandangan bukan Islam terhadap mesej Islam membawa rahmat ke seluruh alam yang dibawa oleh Pas sendiri.

"Oleh yang demikian, saya memohon supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan tindakan disiplin ke atas Mohd. Zuhdi yang akan diambil oleh Pas apabila beliau mengutarakan cadangan yang khianat kepada perjanjian yang Pas meterai dengan pakatan pembangkang dan rakyat yang mengundi Pas serta pakatan pembangkang.

"Berapa ramai lagi daripada kalangan pimpinan pusat Pas yang berpandangan perkauman dan antidemokrasi seperti ini supaya kita tahu pendirian mereka, bukannya bermuka-muka di depan dan mengutarakan cadangan yang khianat kepada pakatan pembangkang dalam perbincangan tertutup seperti Mohd. Zuhdi ini?," katanya menerusi kenyataan dalam laman blog beliau di http://rafiziramli.com hari ini.

Mesej WhatsApp yang dikatakan mengandungi perbincangan sulit antara sekumpulan pemimpin kanan Pas sekiranya parti itu keluar daripada pakatan pembangkang dan bekerjasama dengan UMNO itu tersebar sejak kelmarin.

Berdasarkan kepada cetakan skrin yang dipaparkan portal Hornbill Unleashed di http://hornbillunleashed.wordpress.com/2014/07/29/61691/ hari ini, Mohd. Zuhdi memberi analisis bahawa Pas mungkin boleh mengekalkan penguasaan parti itu di Selangor sekiranya bergabung dengan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan dua ADUN PKR.

Sementara itu, dalam kenyataan melalui laman Facebooknya semalam, Mohd. Zuhdi menjelaskan, maklumat perbincangan yang sangat sulit dan rahsia tersebut dipercayai telah dibocorkan oleh salah seorang pemimpin kanan parti di dalam kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat.

Beliau memberitahu, tindakan tersebut membangkitkan 'fitnah yang sedang tidur' pada hari terakhir Ramadan sekali gus menunjukkan sikap sangat buruk pada individu terbabit.

"Ini dilakukan untuk memalitkan nama saya dengan gerakan untuk membawa Pas keluar daripada pakatan pembangkang setelah saya melakukan beberapa kritikan keras ke atas Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut isu Menteri Besar Selangor.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak termasuk dalam senarai mereka yang menyokong usul keluar pakatan pembangkang itu," katanya.

Jelas Mohd. Zuhdi, beliau membuat analisis tentang senario yang bakal berlaku jika Pas keluar daripada pakatan pembangkang khususnya dari segi kedudukannya di Selangor setelah dipersetujui oleh ahli kumpulan WhatsApp terbabit.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: