Khamis, Ogos 21, 2014

Tidak dapat dinafikan Pas bernafsu tapi tak mampu lawan PKR, DAP?


Pemimpin, penyokong dan ahli Pas yang pro golongan ulama perlu mengakui bahawa penguasaan mereka dalam parti itu sudah berakhir, bersedialah untuk transformasi melalui laungan reformasi yang bakal menyaksikan golongan itu sekadar 'penghias organisasi.'

Kegagalan golongan itu menahan arus kuat dalam menentukan pencalonan Menteri Besar (MB) Selangor pada mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, kelmarin sudah menjadi isyarat awal bahawa Pas kini bukan lagi 'milik ahli Pas'.

Sebaliknya Pas ibarat sekadar sebuah parti yang segala keputusan harus mendapat restu dan kelulusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Tanpa izin kedua-dua parti itu segala kehendak, kemahuan dan keputusan Pas hanyalah ibarat buih di tengah lautan, banyak tetapi tidak membawa apa-apa manfaat.

Bayangkanlah, maruah Pas bagaikan diinjak-injak apabila keputusan parti itu mencalonkan dua nama iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali ditolak mentah-mentah oleh PKR dan DAP. Sebaliknya Pas dipaksa untuk akur dengan kehendak kedua-dua parti tersebut yang hanya mahu Wan Azizah sahaja dicalonkan.

Perasaan hormat terhadap Pas seolah-olah tidak wujud memandangkan cadangan Pas diketepikan tidak sampai enam jam selepas mereka membuat keputusan dalam satu mesyuarat yang menjadi tumpuan seluruh negara.

Ketika pemimpin-pemimpin Pas daripada golongan bukan ulama mahu penyokong serta ahli mereka menghormati keputusan parti yang dibuat melalui mesyuarat itu, mereka sendiri seolah-olah 'mengkhianati' arahan dibuat demi memenuhi nafsu dan kehendak politik PKR dan DAP.


Hebat betul pemimpin-pemimpin Pas tersebut menunjukkan teladan bagaimana hendak menghormati pendirian dan keputusan parti.

Sebenarnya, pusingan 'U' yang dibuat oleh Pas bukanlah satu kejutan sebaliknya sudah dijangka oleh banyak pihak. Sebab itulah ramai yang sinis apabila sebelum ini pemimpin-pemimpin Pas kononnya akan mengikuti keputusan Majlis Syura Ulama mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB.

Memang benar, Abdul Khalid sukar dipertahankan oleh Pas memandangkan beliau bukan lagi ahli PKR tetapi bagaimana dengan Wan Azizah? Presiden PKR itu bermati-matian ditolak oleh Pas sehingga pada saat-saat akhir pun pemimpin Pas dilihat bertegas dengan pendirian itu.

Tetapi ketegasan itu sebenarnya hanya membuatkan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP mengukir senyuman. Mereka tahu kelemahan Pas dan memahami sejauh manakah keberanian pemimpin parti itu.

Sebab itulah, mereka tidak berasa takut untuk memberi tekanan kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya membuat keputusan segera berhubung kedudukan MB Selangor.

Dan ternyata tekanan itu berjaya, pemimpin-pemimpin Pas yang sebelum ini begitu lantang tidak mahu Wan Azizah, akhirnya kehilangan suara dan keberanian untuk menyanggah arahan PKR dan DAP.

Keadaan itu memungkinkan Pas dilihat sekadar bernafsu untuk melakukan itu dan ini tetapi hakikatnya sama sekali tidak berkemampuan bagi mencapai kepuasan yang mereka inginkan dalam agenda politiknya.

Jangan disalahkan golongan ulama dan bukan juga kegagalan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden sebaliknya salahkan seluruh pemimpin, penyokong dan ahli Pas kerana gagal menyedari bahaya menanti apabila mereka menempatkan pemimpin yang dilihat lebih cenderung memenuhi agenda PKR dan DAP.

Abdul Hadi sudah menunjukkan ketegasannya apabila semalam menegaskan, Pas tetap mencalonkan dua nama dan bukan satu nama seperti mana dikehendaki oleh sekutunya.

Akibat peranan segelintir pemimpin kumpulan bukan ulama, Pas dalam pakatan pembangkang bukanlah 'tuan' apatah lagi pencatur perjalanan politik gabungan itu, sebaliknya Pas hanyalah 'hamba politik' yang perlu akur dengan apa juga kehendak dan kemahuan politik PKR dan DAP.


Kesanggupan dan kesediaan Pas untuk setia bersama pakatan pembangkang berikutan tekanan segelintir pemimpin bukan ulama membuktikan parti itu sudah tiada lagi jati diri, Pas tidak lagi memiliki apa-apa kekuatan dan Pas juga hilang segala prinsip perjuangan.

Jati diri Pas sudah dirosakkan dengan agenda politik PKR dan DAP, kekuatan Pas sudah dineutralkan oleh nafsu politik PKR dan DAP manakala prinsip perjuangan sudah digadaikan kepada kedua-dua parti itu demi matlamat mengejar kekuasaan.

Jangan mengharapkan apa-apa lagi daripada Pas, usah berbicara soal untuk mengajak Pas mempertahankan hak Melayu dan usaha dipelawa Pas memartabatkan Islam kerana Pas tidak mempunyai kemampuan untuk itu semua, Pas hanya ada nafsu politik, nafsu mahu berkongsi kuasa bersama-sama PKR dan DAP serta nafsu mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Mungkin seperti biasa hujah-hujah seumpama ini akan dianggap sebagai usaha untuk memecah belahkan pakatan pembangkang, tidak mengapa kalau itulah yang hendak ditafsirkan oleh pemimpin dan ahli Pas yang masih belum lagi membuka mata, hati dan fikiran mereka bahawa parti itu hanya sekadar `pak turut' dan `lebai malang' dalam pakatan pembangkang.

Kepada ahli-ahli Pas terus beristiqamah dalam perjuangan parti itu kerana ia amat penting bagi memenuhi segala kehendak PKR dan DAP. Janganlah membuat tindakan dan janganlah membuat desakan mahupun bantahan terhadap kedua-dua parti berkenaan kerana ia ibarat menghabiskan air liur sahaja.

Lebih baik jika selepas ini apa pun mereka hendak cakap, apapun mereka hendak lakukan, tanyalah dahulu 'tuan sebenar' politik mereka iaitu PKR dan DAP. Pemimpin-pemimpin Pas khususnya daripada golongan ulama sudah tiada apa-apa lagi kekuatan, Majlis Syura Ulama bagaikan 'pelengkap organisasi'.


Ini memandangkan bukan Pas yang menentukan nasib mereka, bukan majlis syura yang berhak memastikan Pas tidak tergelincir daripada landasan perjuangan tetapi segala-gala ada di tangan Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Buatlah apa pun keputusan, nyatakan apa pun pendirian, akhirnya majlis tersebut akan mempunyai kuasa veto untuk memastikan Pas akur dengan apa yang diatur oleh PKR dan DAP.

Dan selepas ini teruslah bersedia untuk membantu kedua-dua parti habis-habisan dalam pilihan raya kerana kemenangan mereka amat penting bagi membuktikan betapa setianya Pas dalam pakatan pembangkang.

Malang sekali bagi Pas, sebuah parti yang cukup hebat dari segi perjalanan politik, begitu 'gah' kerana sejarah penubuhannya dicetuskan oleh sekumpulan ulama kini sekadar 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Tahniah kepada Pas khususnya segelintir pemimpin daripada golongan bukan ulama dalam parti itu kerana berjaya melaksanakan misi 'Pas untuk semua' dengan begitu hebat sekali. Ini memandang sudah terbukti Pas mampu melaksanakan misi 'untuk semua' kemahuan politik PKR dan DAP. Hebat!

Oleh : Zulkiflee Bakar

Suara Politik
Belantan

4 ulasan:

Unknown berkata...

PARTI PAS TELAH BERTUKAR NAMA KEPADA "PARTI U-TURN FOR ALL" SELAMA-LAMANYA. MULAI SEKARANG TAK PERLU SEBUT PARTI PAS LAGI, HANYA SEBUT "PU-TURN"

Unknown berkata...

Pas dah terbelit dan terbabas setelah selalu buat U-TURN. Bila selalu buat U-Turn bukan sahaja "Sereban Tok Guru Terburai", malah maruah PAS juga terburai. Mana nak letak muka Majlis Syura?/Lujnah Politik PAS? Bubarkan sahajalah kedua-dua institusi tu dan nama Majlis Bubur Asura dan Lujnah PKR/DAP"

Unknown berkata...

stuju. Umno pun tak payahlah terhegeh2 macam muka tak tahu malu nak sgt ajak PasTurn joint partinya.
Hilang sudah pejuangan sebenar.

azlanaini berkata...

PAS.?. Engkorang bincang pasal apa nih.. Sebutan ringkas untuk HamPAS tebu ke?