Jumaat, September 12, 2014

Bagai gunting dalam lipatan, Azmin didakwa lobi jawatan MB Selangor?


Hasrat KETUM PKR, Anwar Ibrahim untuk melantik isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor nampaknya bukan sahaja dihalang oleh Pas tetapi turut cuba digagalkan oleh orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Ini berikutan tersebarnya dakwaan terbaharu bahawa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, sedang melobi istana untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang bakal dikosongkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meskipun Ahli Parlimen Gombak itu pernah menafikannya baru-baru ini.

Menariknya, dakwaan tersebut bukan dibuat pihak luar, sebaliknya datang daripada orang PKR sendiri iaitu oleh Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin, sehinggakan beliau melabelkan Azmin sebagai ‘gunting dalam lipatan’ kepada PKR.

Tidak cukup dengan label berkenaan, Badrul Hisham seterusnya mencabar ‘anak emas’ Anwar itu menulis surat rasmi kepada istana memohon Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menolak namanya daripada disenarai jika benar beliau tidak melobi.



"Jika benar YB (Yang Berhormat) Azmin Ali jujur seperti di depan umum dan tidak melobi, sila tulis (surat) ke istana secara rasmi menolak untuk menjadi Menteri Besar dan menyokong calon pakatan, Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Sanggupkah dia?

"Anwar kena tahu inilah orang yang menghancur dan menyusahkan PKR. Jadi gunting dalam lipatan sekian lama. Baik kawan dan lawan tidak akan hormat selagi kita tak solid (bersatu)," dakwa Badrul Hisham menerusi Facebooknya, hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, ketika kemelut politik di Selangor makin memburuk, Azmin ketika diserbu wartawan dalam satu majlis di Hotel Empire, Subang Jaya, menafikan dakwaan beliau menolak jawatan Menteri Besar Selangor.


Sebaliknya Timbalan Presiden PKR itu memberitahu, beliau cuma menegaskan semula komitmennya terhadap Akuan Berkanun yang ditandatangani sebagai tanda akur kepada keputusan PKR mencalonkan Wan Azizah.

Dalam pada itu, beberapa penyokong PKR mengecam dan menganggap Badrul Hisham cuba memecah-belahkan parti menerusi kenyataan tersebut tetapi segera dijawab beliau dengan berkata: "Jika menipu, pecat saya dan Azmin pun boleh saman apa?"

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: