Jumaat, September 05, 2014

Krisis MB Selangor : Istana Selangor akan maklum!

Abdul Khalid Ibrahim (tengah) bersama Exco Selangor, Ir. Iskandar Abdul Samad (kiri) dan Dr. Halimah Ali sewaktu sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor di Shah Alam, semalam.

Istana Selangor dijangka mengemukakan maklum balas berhubung senarai calon Menteri Besar yang telah dihantar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengumumkan perkara itu mengesahkan ketiga-tiga parti berkenaan telah mempersembahkan senarai calon masing-masing kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas tempoh yang diberikan baginda tamat pada hari ini.

Sehubungan itu, katanya, segala urusan pemilihan Menteri Besar selepas ini hanya akan dilakukan oleh Istana Selangor mengikut enakmen yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.

"Bagi saya, semua orang perlu tahu adalah penting untuk membuat sesuatu keputusan yang betul (dalam pemilihan Menteri Besar)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.



Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, beliau tidak tahu mengenai jumlah keseluruhan calon yang dikemukakan tiga parti sekutu pembangkang itu selain menegaskan tidak boleh mencampuri atau terlibat dalam urusan pemilihan berkenaan kerana merupakan pihak berkepentingan.

"Oleh itu, saya rasa lebih baik saya hanya diberitahu mengenai keputusan yang dibuat oleh pihak Istana nanti.

"Hanya Istana Selangor akan memberi maklum balas mengenai cadangan nama calon yang dipersembahkan melalui surat rasmi. Kita akan lihat nanti apabila Sultan Selangor memutuskan calon yang layak dan selepas itu barulah saya jalankan tugas saya (melaksanakan proses peralihan kuasa)," jelasnya.

Mengenai pandangan masyarakat supaya pilihan raya negeri diadakan bagi menyelesaikan kemelut yang berlarutan itu, Abdul Khalid berkata, perkara itu terpulang kepada budi bicara Sultan Selangor.

Malah, beliau menjelaskan tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai keperluan pilihan raya tersebut bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

Abdul Khalid juga meminta semua pihak supaya bersabar dan menunggu proses pelantikan Menteri Besar baharu yang dijalankan mengikut tatacara Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 serta adat istiadat negeri ini diselesaikan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: