Sabtu, September 13, 2014

Mohon maaf sekadar 'wayang'?


Pemimpin DAP harus mengawal ahli mereka daripada terus menyerang institusi beraja selepas parti itu membuat permohonan maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang ingkar dengan titah baginda.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, walaupun Lim Guan Eng selaku 'Setiausaha Agung' DAP membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor, ahli-ahli parti itu dilihat berterusan mempertikaikan peranan yang dimainkan baginda dalam menyelesaikan isu Menteri Besar Selangor.

"Ini menunjukkan DAP tidak ikhlas. Kalau kita lihat status Ahli Parlimen DAP Taiping, Ngar Kor Ming melalui Facebooknya, dia masih mempertikaikan perkara itu. Jadi, di mana keikhlasan mereka?" katanya di sini hari ini.

Cheng Guan mengulas tindakan ahli dan penyokong DAP yang masih membangkitkan perkara itu termasuk oleh pembantu peribadi Guan Eng, Kief Wong hari ini.

Menerusi laman sosial Facebooknya, Kief Wong memuat naik status berbunyi: The constitutional king unconstitutionally playing politic. The collapse (Raja berperlembagaan bermain politik tanpa berperlembagaan. Satu keruntuhan.)


Semalam Guan Eng memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin yang berdukacita dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar dengan titah baginda pada 27 Ogos lalu supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon daripada parti masing-masing untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Mengulas lanjut, Cheng Guan berkata, keadaan itu jelas menunjukkan DAP gagal mengawal ahlinya supaya menghormati institusi beraja di negara ini.

"Janganlah bersikap depan cakap lain tetapi di belakang cakap lain kerana ahli mereka masih membuat tuduhan melulu," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita PKR negeri, Aminah Abdullah turut menyelar tindakan Keif Wong dan menyifatkannya sebagai biadab serta tidak menghormati institusi beraja di negara ini.

"Saya ingin bertanya, adakah permohonan maaf sebelum ini hanya sekadar wayang semata-mata untuk mengaburi mata rakyat kononnya DAP menghormati sistem beraja di negara ini.

"Ini seperti menjadi kelaziman bagi mereka, apabila buat salah dan keluarkan kenyataan kontroversi, akan tampil memohon maaf. Sampai bila perkara seperti ini akan berterusan?" katanya.

Dalam masa sama, Aminah berkata, Guan Eng harus bertanggungjawab terhadap perbuatan pembantu peribadinya itu dan tidak bersikap lepas tangan.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan reaksi pembantu peribadi berkenaan tidak berhasil selepas dia gagal dihubungi.

Suara Poltik
Belantan

Tiada ulasan: