Selasa, September 23, 2014

Pas bukan jenis 'palahap' semua - Hadi?


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, isu kerusi Menteri Besar Selangor tidak boleh diselesaikan melalui hukum akal semata-mata sebaliknya terdapat hukum-hukum syariat yang perlu dipatuhi.

Atas sebab itulah, tegas beliau, walaupun parti tersebut mempunyai kelebihan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak membuat sebarang perjanjian bertulis dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, namun Pas tidak berebut atau pelahap' dengan jawatan tersebut.

"Walaupun Pas ada 15 kerusi, PKR ada 13 dan DAP 15, mengikut perlembagaan negeri Selangor, Menteri Besar mesti Melayu Islam, Pas tak rebut jawatan Menteri Besar, tetapi dalam hal ini ada hukum syaraknya, jangan hukum akal sahaja. Kita tak boleh biarkan di negeri dan rajanya, kita ada peranannya dan tidak boleh berdiam diri," katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60, di sini hari ini.

Sebelum itu, beberapa pemimpin dan perwakilan ketika berucap di muktamar tersebut mendesak Pas menolak jawatan Menteri Besar Selangor jika sultan membuat keputusan menyerahkan kepada ADUN daripada Pas.

Mereka berpendapat, tindakan perlu dilakukan bagi menjaga integriti Pas yang sudah berjanji bahawa jawatan berkenaan milik PKR.

Abdul Hadi berkata, walaupun Pas tidak mahu jawatan tersebut, menyedari tanggungjawab dalam perkara itu, Pas mesti campur tangan untuk menyelesaikan kemelut tersebut sebagai satu amanah.

"Saya tidak rela mengheret ahli Pas ke dalam neraka jahanam. Oleh kerana itu, kita perlu campur tangan dalam masalah ini dan jangan pandang ringan, jangan pandang mudah, nak beri begitu sahaja," katanya sambil disambut laungan takbir oleh perwakilan dan pemerhati.


Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengecam tindakan dua ADUN Pas di Selangor yang menyokong Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dicadangkan PKR dan DAP bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan menggelar mereka sebagai 'broker' dan `barua'.

"Ini ada pula, curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat kita, inikah etika kita bertahaluf? Kita tidak akan memandang ringan dua wakil rakyat kita yang sanggup menyeberang, yang jadi broker, yang jadi barua," katanya sambil menegaskan bahawa semua wakil rakyat parti itu telah berbaiah dan menandatangani surat aku janji.

Menurut beliau, tindakan pemimpin dan ahlinya yang tidak wala' ataupun taat kepada pemimpin parti adalah bertentangan dengan prinsip berjemaah dalam pati itu dan wala' kepada pihak lain adalah haram dalam sebuah jemaah Islam begitu juga dengan tindakan membocorkan rahsia mesyuarat parti serta membawa agenda pihak lain dalam parti.

"Wala' dengan pihak lain diharamkan, kita kena pegang kepada jati diri Islam," katanya.

Beliau berkata, ahli Pas bukan sahaja perlu taat, malah mesti menjaga adab dalam berjemaah dan tidak menjadikan parti sebagai alat untuk mencapai kepentingan peribadi.

"Jangan berkeras dalam benar, jangan tubuh jemaah dalam jemaah. Adat berjemaah perlu dipelihara, jangan ikut munafik.

Beradab dalam berbeza pendapat, jangan kacau parti rakan kita dan apabila kita tidak kacau, rakan pula jangan kacau kita," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: