Rabu, September 17, 2014

Pemimpin 'anai-anai' rosakkan Pas?

Beberapa ahli Pas menunjukkan tanda bantahan kepada segelintir pemimpin Pas yang menentang golongan ulama dalam parti tersebut di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.

Pas kini berdepan ancaman dalaman yang amat berbahaya kepada kelangsungan parti itu kerana terdapat beberapa pemimpinnya mengikut telunjuk pihak luar dan menjadi 'anai-anai' yang merosakkan parti berkenaan.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamed Nordin Mohd. Nor berkata, tindakan beberapa pemimpin parti itu yang secara terbuka menyanggah keputusan pucuk pimpinan yang diterajui golongan ulama dalam beberapa isu kebelakangan ini merupakan permulaan kepada kerosakan serius yang bakal berlaku jika tidak dikawal.

Sambil memberi sokongan padu kepada kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamed Nordin mencabar pemimpin-pemimpin berkenaan supaya keluar parti jika mereka tidak menghormati suara ulama yang memimpin Pas sejak dahulu lagi.

"Mereka merupakan individu yang sering memberi kenyataan bercanggah dengan pendirian ulama dan melanggar walaq (taat setia) kepada perjuangan parti.


"Kumpulan ini memperlekehkan golongan ulama yang selama ini menjadi teras kepimpinan Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Kalau sudah tidak hormat prinsip perjuangan Pas, saya cabar mereka keluar parti dan menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma)," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamed Nordin yang menyertai Pas pada 1982 dan menjadi Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri pada 1991 dan 1992 berkata, Pas negeri sudah lama menyedari kehadiran kumpulan 'anai-anai' dalam parti itu iaitu sejak 2005 dan pernah membangkitkan isu berkenaan dalam Muktamar Pas.

Ketika itu jelas beliau, Pas mula dipengaruhi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli akar umbi turut melihat kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebenarnya mempunyai agenda tersembunyi iaitu untuk melemahkan Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Sementara itu, Mohamed Nordin berkata, ahli Pas terutama di negeri ini turut kecewa dengan sikap Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamad atau Mat Sabu yang tidak konsisten dengan perjuangannya.

"Dulu Mat Sabu yang ajar kami supaya sentiasa taat setia kepada parti, tetapi hari ini beliau membuat pusingan U apabila tidak senada dengan keputusan ulama.

"Malah, beliau juga pernah menyatakan jawatan dalam Pas bukan hak eksklusif golongan ulama sedangkan kepimpinan ulama telah diterima sejak dahulu lagi," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: