Rabu, September 24, 2014

Selesakah Azmin sebagai MB Selangor yang baharu?


Setelah sah menjadi Menteri Besar (MB) Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pelbagai spekulasi dan andaian berlegar apakah langkah yang akan dilakukan oleh Azmin Ali dalam mentadbir negeri paling maju di Malaysia itu.

Namun begitu apa yang lebih menarik perhatian apakah langkah politik Azmin dan apa pula tindakan beliau dalam mentadbir kerajaan negeri Selangor? Dan sejauh manakah Azmin akan mampu menepis tanggapan beliau akan menjadi MB di bawah telunjuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim.

Sebagai seorang yang dianggap pakar matematik oleh isterinya, Shamsidar Taharin, Azmin sudah pasti ingin membuktikan beliau layak menduduki jawatan tersebut sebab itulah ketika Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail mencalonkan Abdul Khalid untuk terus menjadi MB sebaik sahaja pakatan pembangkang mendapat mandat dalam pilihan raya umum lalu, Azmin menentang pencalonan berkenaan.

Selepas segala usahanya menghalang pelantikan Abdul Khalid gagal, Azmin menjadi pengkritik utama kepada Abdul Khalid dalam soal pentadbiran kerajaan negeri, malah Azmin juga bertanggungjawab mempengerusikan beberapa mesyuarat PKR yang cenderung ke arah untuk menyingkirkan Abdul Khalid daripada tampuk pemerintahan negeri.

Hasrat beliau sudah hampir tercapai apabila Anwar merancang 'Langkah Kajang' yang ibarat 'Langkah malang' untuk pakatan pembangkang tetapi sekali lagi impian Azmin hampir terkubur apabila Anwar mencalonkan isterinya untuk menggantikan Abdul Khalid.


Namun manusia hanya mampu merancang dan Allah menentukan segala-galanya, kalau Allah sudah mentakdirkan sesuatu kedudukan itu hak seseorang maka ia pasti menjadi kenyataan. Begitulah Azmin, beliau akhirnya menjadi MB Selangor - satu jawatan yang dikatakan diidam-idamkan oleh beliau selama ini.

Kini Azmin sudah berada di situ, beliau akan melalui apa yang ditempuhi oleh Abdul Khalid selama ini terutamanya didesak perlu mengutamakan agenda politik pakatan pembangkang berbanding kesejahteraan rakyat Selangor.

Persoalannya sejauh manakah Azmin akan mampu menempuh cabaran itu dan mengekalkan integriti yang sudah diterapkan oleh Abdul Khalid sepanjang menjadi MB? Rakyat Selangor amat memahami bagaimana Azmin menduduki jawatan itu, ia bukan atas kehendak mereka tetapi hasil percaturan politik Anwar yang tidak kesampaian untuk menjadikan isterinya sebagai MB. Oleh itu Azmin perlu membuktikan beliau layak berada di situ dan mempunyai kredibiliti serta integriti yang jauh lebih hebat daripada Abdul Khalid.

Tidak perlulah beliau membuang masa untuk mengkaji satu persatu apa yang sudah dilakukan oleh Abdul Khalid dengan tujuan mencari kesalahan bekas MB Selangor tersebut kerana ia hanya akan menyebabkan orang melihat beliau seorang pendendam.

Abdul Khalid pasti ada kelemahannya tetapi beliau juga dipandang tinggi sebagai seorang yang cukup berintegriti. Azmin tidak perlu bersusah payah hendak membuang pujian itu daripada Abdul Khalid kerana ia tidak akan menguntungkan imej beliau sebagai MB Selangor. Lagipun kalau mahu mengungkit sejarah silam, Azmin pun ada 'rekod' yang boleh dipertikaikan.

Justeru lebih baik, apa yang perlu diutamakan oleh Azmin ialah mengatur satu pentadbiran yang tidak harus membuka sedikit pun ruang kepada mana-mana pemimpin PKR untuk mencari kelemahannya. Azmin tidak perlu takut dengan ancaman UMNO kerana parti itu walaupun berada dalam barisan pembangkang hanya akan membuat teguran secara ikhlas demi rakyat.


Tetapi rakan-rakan beliau dalam PKR akan membuat teguran yang mempunyai motif politik dan akan menyingkirkan beliau dari jawatan MB. Ini kerana apa juga kenyataan yang dibuat oleh pemimpin PKR khususnya mereka yang taksub kepada Anwar berhubung pelantikan Azmin, mereka tetap tidak berpuas hati. Kenyataan yang dibuat lebih banyak untuk 'sedapkan hati' dan retorik politik kelas tertinggi sahaja.

Malah Wan Azizah sendiri boleh dianggap tidak ikhlas ketika membuat kenyataan menyokong pelantikan Azmin yang diputuskan oleh Istana apabila menyelitkan ayat, ''Walaupun pelantikan ini pada hemat saya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, saya percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.''

Sepatutnya tidak perlu ada perkataan seumpama itu jika benar beliau berlapang dada dengan pelantikan Azmin tetapi semua orang tahu sejauh manakah hubungan Wan Azizah dengan Azmin, apatah lagi kalau ada suara-suara nakal menyebut nama Shamsidar.

Sebenarnya Wan Azizah masih tidak mampu menerima hakikat beliau tidak dapat menduduki jawatan MB, biarpun dikatakan hanya tinggal setapak sahaja lagi bagi mencapai impian itu. Ia samalah juga keadaannya ketika Anwar dipecat daripada kerajaan, beliau juga hanya tinggal setapak sahaja lagi untuk Perdana Menteri.

Oleh itu ramai pemerhati politik melihat kedudukan Azmin tetap tidak selesa biarpun cita-citanya untuk menjadi MB Selangor sudah tercapai. Perebutan politik dalam PKR akan menjadi cabaran untuk Azmin kerana beliau akan dilihat ancaman kepada 'Dinasti Anwar'.

Apatah lagi terlalu ramai pemimpin PKR yang tidak mahu melihat Azmin menjadi MB kerana mereka patuh kepada kehendak Anwar yang mahu Wan Azizah menduduki jawatan itu. Atas sebab itulah dalam mentadbir Selangor, Azmin perlu faham janganlah terlalu taksub dengan kehendak dan perancangan Anwar.

Tidak salah beliau mempersoalkan kewajaran Abdul Khalid memecat Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor lagipun ia bukan satu isu besar, sebagai MB, Azmin boleh melantik semula Anwar menduduki jawatan berkenaan.

Yang penting Azmin tidak harus terlalu mengikut kehendak politik Anwar dalam mentadbir Selangor, bagaimanapun jika Azmin mahu berbuat demikian demi menunjukkan kesetiaannya kepada 'bosnya' itu, silakan tiada siapapun yang hendak melarang tetapi Azmin pun lebih faham siapakah beliau di sisi Anwar.

Selagi ada Wan Azizah sebagai Presiden PKR dan ADUN Kajang, selagi itulah Azmin tidak akan selesa sebagai MB kecualilah beliau mempunyai kekuatan untuk meranapkan pengaruh Wan Azizah dalam parti itu.

Ia memandangkan 'politik cuci tangan' sememangnya sudah sebati dengan pemimpin-pemimpin PKR. Begitulah juga apabila Azmin melaksanakan sesuatu tindakan di Selangor sebagai MB dengan mengikut arahan Anwar, akhirnya apabila sesuatu berlaku Azmin yang akan disalahkan bukannya Anwar.

Apa pun Azmin tidak perlu angkuh atau berasa 'besar kepala' selepas menjadi MB, beliau berada di situ bukan atas kemahuan rakyat, rakyat memberi mandat kepada pembangkang disebabkan Abdul Khalid, ini fakta yang perlu difahami Azmin.

Oleh itu, tidak perlulah menggunakan banyak sangat kaedah matematik dalam mentadbir Selangor kerana bagi rakyat apa yang penting ialah sejauh mana seorang pemimpin itu mampu menjaga kesejahteraan mereka, tidak banyak menghabiskan masa dengan berpolitik dan paling penting tidak menjadi 'pak turut' sesiapa.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: