Isnin, Oktober 06, 2014

Azmin terus persoal kapasiti kuasa Faekah?


Seolah-olah tercabar dengan pemecatan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali terus mempersoalkan tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin berbuat demikian.

Azmin berkata, Faekah tidak berhak bertindak sedemikian berikutan penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 22 September lalu.

"Dia (Faekah) siapa? Tanyalah dia.

"Saya pertikai berdasarkan minit mesyuarat MMKN pada 22 September lalu yang dipengerusikan oleh Abdul Khalid, bukan Faekah," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di sini hari ini.

Pada 23 September lalu, Faekah mengeluarkan satu kenyataan yang mengumumkan penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor bagi menjimatkan kos pentadbiran kerajaan negeri.

Berdasarkan arahan MMKN, jelas Faekah, pihaknya dimaklumkan bahawa keputusan itu dibuat atas perkiraan mengurangkan kos tidak mustahak yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan perbelanjaan operasi Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Bagaimanapun, tindakan Faekah itu seolah-olah tidak disenangi Mohamed Azmin yang mengkritiknya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: