Khamis, Oktober 16, 2014

Layak ke Rafizi sebagai Setiausaha Agung baharu PKR ganti Saifuddin Nasution?


Parti Keadilan Rakyat (PKR) melakukan rombakan mengejut yang menyaksikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail 'diturunkan pangkat' apabila kedudukannya selaku Setiausaha Agung parti diambil alih Naib Presiden, Rafizi Ramli.

Beliau yang sebelum ini dilihat menjadi nadi utama dalam menggerakkan parti berkenaan khususnya mengenai soal pentadbiran, kini diberi peranan sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR dan itu pun secara bersama dengan seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Rombakan tersebut kemudiannya disahkan Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita di Parlimen dan Penasihat PKR itu menyifatkan pelantikan Rafizi merupakan sesuatu yang baik, sekali gus memberi gambaran mengapa jawatan Saifuddin Nasution ditukar.

Meskipun menjadi punca kepada kemelut dalam pakatan berikutan idea 'Langkah Kajang', Rafizi yang kini dilabelkan sebagai anak emas baharu Anwar ternyata lebih diyakini pucuk pimpinan PKR berbanding Saifuddin Nasution, walaupun pengalaman politiknya masih hijau.

'Penurunan pangkat' Saifuddin Nasution itu seolah-olah disahkan pula Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, ketika ditemubual sebuah akhbar berbahasa Inggeris apabila beliau dipetik berkata: "untuk (rombakan dalam parti) menempatkan pemimpin terbaik di tempat terbaik,".


Selain Saifuddin, Rafizi dan Nurul Izzah, rombakan kepemimpinan PKR juga menyaksikan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dilantik sebagai Ketua Pengarah Strategi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ahli Parlimen Pandan itu.

Turut tidak ketinggalan selain meraih laba politik daripada rombakan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Penampang, Sabah, Darell Leiking apabila kedua-duanya dilantik sebagai Naib Presiden.

Sementara itu, Saifuddin Nasution dalam reaksinya menerusi laman Facebook berkata, beliau tetap istiqmah dalam perjuangan bersama PKR.

"Alhamdulillah setelah berkhidmat sejak Februari 2010, tugas saya sebagai Setiausaha Agung sekarang diambil alih oleh Rafizi, Saya akan menumpukan tugas baharu sebagai Pengarah Pilihan Raya parti bersama Nurul Izzah.

"Peranan dan ruang kepada anak muda terus diperkukuh. Nurul Izzah, Rafizi, Tze Tzin, Nik Nazmi Nik Ahmad, Amiruddin Shaari, Shamsul Iskandar Mohd. Akin, Gooi Hsiao Loong, Siti Aishah Shaik Ismail dan Fahmi Fadzil antara nama yang kini diberi tugas besar dalam PKR," katanya.

Selanjutnya sila baca di sini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: