Rabu, Oktober 15, 2014

Nik Aziz ingatkan 'kalau keluar Pas, tidak siuman'?


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Selangor, Saari Sungip (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) sebagai tidak siuman sekiranya mengambil keputusan keluar daripada parti itu.

Beliau berkata, kedua-dua ADUN yang digantung keahlian selama setahun itu tidak mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian kerana mereka bertanding dan menang di kawasan masing-masing di atas tiket Pas pada pilihan raya umum lalu.

"Mahu pindah parti, itu dia punya pasal. Tetapi kalau pindah juga, ertinya dia akan berdepan dengan rakyat yang selama ini memilih dia kerana dia berkempen untuk Pas.

"Kempen untuk Pas, lepas pada itu, pergi parti lain pula. Ini orang tidak siuman kita panggil. Orang yang akil baligh mesti jaga lidah," katanya ketika ditemui pemberita semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berehat di sini hari ini.


Saari dan Hasnul yang digelar 'barua' dan 'broker' oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana membelakangi keputusan parti dalam kemelut jawatan Menteri Besar Selangor digantung keahlian selama setahun berkuat kuasa semalam.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar berkata, beliau menyokong keputusan Jawatankuasa Pas Pusat menggantung dua ADUN berkenaan memandangkan mereka berdua melanggar peraturan parti.

"Kita dalam mana-mana persatuan, sama ada persatuan berbentuk politik, perniagaan, sekolah atau kerajaan, mesti patuh kepada peraturan. Nak langgar peraturan sesuka hati memang tidak betul. Jadi perlu dihukum.

"Nak gantung ke, atau apa sahaja hukuman, terserahlah kepada jawatankuasa, saya menyokong hukuman tersebut," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: