Khamis, Oktober 30, 2014

Pendakwaan akan beri hujah balas petang ini?


Ketua pasukan pendakwaan dalam kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan membuktikan bahawa mereka atau saksi-saksi pendakwa tidak pernah bersetuju dengan mana-mana usul pembelaan sepanjang perbicaraan.

Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menyatakan, pihaknya mempunyai penjelasan tersendiri terhadap setiap hujah yang ditimbulkan.

“Kami tidak pernah bersetuju dengan pembelaan. Kami ada jawapan sendiri atas isu Alel 18 dan akan memberikan jawapannya,” katanya ketika prosiding rayuan Anwar di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Beliau bangkit dan berkata demikian selepas salah seorang peguam Ketua Pembangkang itu, Datuk Seri Gopal Ramkarpal Singh kerap kali dalam hujahnya menyatakan bahawa pendakwaan dan saksi-saksi mereka bersetuju secara langsung atau tidak berhubung isu degradasi dan pencemaran sampel calitan kapas.

Menurut keterangan saksi pakar sebelum ini, ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong, terdapat kemunculan Alel 18 (sekuen gen) pada sampel calitan kapas yang diperoleh dari dubur bekas pembantu peribadi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 28.

(Alel adalah satu daripada dua atau lebih yang membentuk turutan asid deoksiribonukleik (DNA) sesuatu gen tertentu. Setiap gen boleh mempunyai alel yang berbeza.)

Pihak pembelaan mendakwa kehadiran Alel 18 menunjukkan terdapatnya penyumbang DNA ketiga di dalam dubur mangsa.


Saksi pakar tersebut menafikan mengenai kehadiran DNA pihak ketiga sebaliknya ia adalah dropping.

Terdahulu, Ramkarpal dalam hujahnya menyentuh mengenai isu degradasi dan pencemaran sampel-sampel calitan kapas.

Berhubung isu degradasi, Ramkarpal berkata, berdasarkan cara sampel-sampel itu dikendalikan oleh bekas pegawai penyiasat kes itu, Supritendan Jude Blacious Pereira, adalah mustahil saksi pakar pendakwa mendapat hasil ujian yang sangat bersih.

Pada perbicaraan sebelum ini, Pereira dalam keterangannya menyatakan, dia telah menyimpan bekas-bekas berisi calitan yang diambil 36 jam selepas kejadian di dalam laci besi di dalam biliknya dan bukan di dalam peti sejuk khas.

Tindakan itu juga, hujah Ramkarpal, akan menyebabkan sampel tercemar dan ini berkemungkinan telah berlaku sehingga menyebabkan munculnya Alel 18.

Sementara itu, pihak pendakwaan akan memulakan hujah balas mereka, petang esok. Hujah tersebut akan berlanjutan sehingga Jumaat ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Muhammad Shafee selepas Ramkarpal memberitahu beliau akan menamatkan hujahnya esok.

“Saya akan mengambil masa separuh hari untuk menghabiskan hujah saya. Cuma tinggal bahagian yang bukan teknikal sahaja,” ujar Ramkarpal.


Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, hujah balas esok akan menjawab kepada isu-isu yang ditimbulkan oleh pasukan pembelaan Ketua Pembangkang itu.

Beliau akan memulakan dengan menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh peguam bela utama, Gopal Sri Ram semalam.

Selain Sri Ram, peguam-peguam bela yang telah menamatkan hujah mereka ialah N. Surendran dan Sangeet Kaur Deo.

Berhubung rayuan balas pihak pendakwa berkaitan tempoh pemenjaraan Anwar, Muhammad Shafee memaklumkan, hujah mengenainya hanya akan dibuat sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan salah Anwar.

Sementara itu, Perhimpunan cuba raih simpati terhadap Anwar tidak dapat sambutan?

Persekitaran di hadapan Istana Kehakiman hari ini kelihatan lengang apabila hanya sebilangan penyokong Anwar Ibrahim berkumpul di sini sejak awal pagi bagi mengikuti prosiding rayuan akhir kes liwat Ketua Pembangkang tersebut.


Tinjauan wartawan pada pukul 9 pagi mendapati hanya terdapat kira-kira 50 penyokong Anwar berkumpul hari ini.

Prosiding rayuan kes liwat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu hari ini memasuki hari ketiga dan sepatutnya berakhir semalam serta dijangka berterusan sehingga esok.

Kehadiran hampir 400 penyokong Anwar semalam dengan menganjurkan perhimpunan tanpa permit telah mencetuskan beberapa provokasi termasuk merempuh penghadang besi yang diletakkan di hadapan Istana Kehakiman bagi memasuki lobi utama Mahkamah Persekutuan.

Dalam pada itu, Anwar tiba di Mahkamah Persekutuan pada pukul 9.15 pagi ini bagi merayu sabitan penjara lima tahun setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan pada Mac lalu berhubung dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati kawasan di tepi Istana Kehakiman telah dipasang pita kuning bagi menghalang penjaja berniaga di kawasan itu.


Langkah tersebut ekoran terdapat beberapa penjaja kecil mula berniaga tanpa kebenaran di kawasan itu sejak kelmarin.

Turut diletakkan notis `Dilarang menjaja tindakan kompaun dan sitaan UUK3 Akta Kerajaan Tempatan’.

Semalam, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat memberi amaran kepada penjaja yang membuka gerai makanan dan minuman tanpa kebenaran PPj di situ supaya menghentikannya sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: