Ahad, Januari 25, 2015

Isu kalimah Allah: Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Gereja Tambah Anggota Panel Hakim?


PUTRAJAYA – Gereja Katolik baru-baru ini gagal dalam usahanya untuk menambah anggota panel lima hakim bagi mendengar rayuan terakhirnya mengikut saluran undang-undang berhubung penggunaan kalimah Allah dalam bahagian Bahasa Malaysia majalah mingguannya The Herald.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, yang mempengerusikan panel hakim Mahkamah Persekutuan, sebulat suara menolak permohonan gereja itu untuk mempunyai lebih banyak anggota panel hakim.

Empat lagi hakim yang bersidang ialah Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed.

“Permohonan anda adalah untuk menyemak semula penghakiman majoriti empat hakim, dan ketika ini kami mempunyai lima hakim, jadi secara praktikalnya mempunyai anggota lebih banyak,” kata Hakim Abdull Hamid.

Beliau berkata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria telah menolak permohonan gereja untuk menambah anggota kuorum dan dengan itu, panel ini tidak boleh membuat keputusan yang tidak selari dengan keputusan dibuat ketuanya (Arifin) yang telah diberi kuasa membentuk panel untuk mendengar sesuatu kes.

Gereja memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah.

Jun lepas, panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Arifin, dalam penghakiman majoriti, menolak permohonan gereja bagi kebenaran untuk merayu.


Mahkamah Persekutuan, selepas menolak permohonan gereja itu untuk menambah anggota panel, meneruskan prosiding dengan mendengar hujahan Datuk Dr Cyrus Das, peguam utama gereja itu, berhubung permohonan semakan itu.

Pada awal prosiding, mahkamah mendengar hujahan dikemukakan oleh Das berhubung pertambahan anggota panel. Das berhujah bahawa jumlah anggota panel sepatutnya lebih banyak daripada panel sebelum ini yang dianggotai tujuh hakim.

Beliau berkata adalah tidak sesuai bagi panel dianggotai jumlah anggota yang lebih kecil untuk menyemak keputusan panel sebelum ini yang jumlah anggotanya lebih banyak daripada kuorum sekarang.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan, berhujah kuasa untuk menentukan kuorum terletak pada Ketua Hakim Negara dan perkara itu tidak boleh dipersoalkan.

“Kami mempunyai keyakinan sepenuhnya, tidak kira berapa ramai hakim yang bersidang dalam panel,” katanya.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam Terengganu, berhujah lima hakim sudah memadai untuk mendengar permohonan semakan itu.

Katanya oleh kerana sidang terakhir dianggotai panel tujuh anggota, adalah sukar untuk memilih anggota panel hakim, dengan mengambil kira jumlah keseluruhan hakim Mahkamah Persekutuan.

Pada 19 Sept tahun lepas, Gereja Katolik itu memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.


Hakim Arifin, mempengerusikan panel tujuh anggota itu, memutuskan bahawa 28 persoalan tentang undang-undang pentadbiran, undang-undang perlembagaan dan soalan umum dikemukakan pihak gereja gagal memenuhi perkara utama mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk diberikan kebenaran merayu.

Mahkamah Rayuan pada 14 Okt, 2013, sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah.

Mahkamah Tinggi pada 31 Dis, 2009 memutuskan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah Allah adalah melanggar undang-undang, batal dan tidak sah.

Terdapat sembilan responden dalam kes ini iaitu Kementerian Dalam Negeri, kerajaan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, lima Majlis Agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Lima negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka dan Selangor.

Berikut adalah kronologi kes Gereja Roman Katolik menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada “Tuhan” dalam edisi bahasa Malaysia majalah mingguan terbitannya, ‘The Herald’.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya dijadual mendengar permohonan semakan semula kehakiman mengenainya, esok.

2009:

16 Feb – Gereja Roman Katolik diketuai Ketua Paderi Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan semula kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarangnya menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam majalah mingguan itu adalah bercanggah dengan undang-undang.

The Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah ‘Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysianya untuk bacaan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Gereja Roman Katolik, antara lain, memohon perisytiharan bahawa:

1. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald kerana adalah menjadi haknya, seperti agama selain Islam, untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman.

2. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald.

3. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan itu, sama seperti ia mempunyai hak untuk bebas bersuara dan memberi pendapat.

4. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald, sama seperti hak untuk bebas beragama dan mengurus hal ehwal agama sendiri.

5. Ia mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald, sama seperti hak untuk memberi pendidikan tentang Katolik dan Kristian.

6. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memberi kuasa kepada responden untuk melarang pemohon menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald.

7. Kalimah ‘Allah’ bukan eksklusif untuk Islam.

31 Dis – Mahkamah Tinggi, ketika meluluskan permohonan semakan semula kehakiman oleh Gereja Roman Katolik itu, mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan bahasa Malaysianya, yang khusus untuk bacaan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.

Mahkamah itu memutuskan bahawa The Herald mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah ‘Allah dalam majalah mingguannya bagi mengembangkan agama Kristian, bukan agama Islam.

Hakim berkenaan berkata menurut Perkara 11(4) Perlembagan Persekutuan, adalah salah bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk menyebar agama mereka kepada orang Islam.

Tetapi, tidak menjadi kesalahan bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk menyebarkan agama mereka kepada orang bukan Islam, katanya.

Hakim itu seterusnya berkata menurut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, The Herald mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk menggunakan kalimah itu bagi tujuan keagamaan dan pendidikan dalam kalangan penganut Kristian.

Katanya menteri berkenaan gagal mengemukakan bukti bahawa penggunaan kalimah itu akan mengancam keselamatan negara dan mencetuskan salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

2010:

4 Jan – Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

6 Jan – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pelaksanaan perintah terdahulu yang membenarkan majalah itu menggunakan kalimah ‘Allah’ berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katolik atas alasan untuk kepentingan negara.

2013:

10 Sept – Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

14 Okt- Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara meluluskan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ‘Allah’.

Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah ‘Allah’.

Hakim Mohamed Apandi, yang mengetuai panel tiga anggota, berkata mahkamah mendapati kalimah ‘Allah’ tidak pernah menjadi bahagian penting dalam amalan kepercayaan agama Kristian.

Katanya dengan mengambil fakta sejarah dan keagamaan, beliau tidak menemukan sebarang sebab munasabah kenapa Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur “berkeras” untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan itu.

11 Nov – Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan mengemukakan 26 persoalan undang-undang yang melibatkan tiga bidang iaitu persoalan undang-undang, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tentang isu perbandingan agama.

2014:

5 Mac – Pendengaran permohonan Gereja Roman Katolik untuk mendapat kelulusan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang The Herald daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitannya; Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakimannya ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

23 Jun – Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-3, menolak permohonan gereja itu untuk mendapatkan kelulusan merayu bagi penarikan balik larangan kerajaan tentang penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan dalam edisi bahasa Malaysia The Herald.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mempengerusikan panel tujuh anggota, memutuskan bahawa 28 persoalan mengenai undang-undang pentadbiran, undang-undang perlembagaan dan persoalan umum yang dikemukakan gereja itu, tidak memenuhi syarat asas mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, untuk diberi kelulusan untuk merayu.

Katanya Mahkamah Rayuan secara betul menggunakan ujian objektif berhubung keputusan menteri berkenaan melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald.

Arifin berpendpat hakim Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya melayan gereja berkenaan untuk mencabar kesahan atau kuasa dari segi perlembagaan pelbagai enakmen negeri yang bertujuan mengawal dan menyekat penyebaran doktrin dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam.

19 Sept – Gereja Roman Katolik memfailkan permohonan semakan semula kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memberi kelulusan kepadanya untuk merayu berhubung larangan Menteri Dalam Negeri tentang penggunaan kalimah ‘Allah’.

Permohonan itu dibuat berdasarkan tiga asas utama, termasuk isu undang-undang tertentu yang menjadi bahagian penting dalam permohonan untuk mendapatkan kelulusan itu, mengikut skop Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.— BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: