Selasa, Julai 28, 2015

Gugur Muhyiddin keputusan yang amat sukar - Najib!

NAJIB Razak mengadakan sidang media bagi mengumumkan barisan Kabinet baru di pejabatnya hari ini.

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kabinet adalah satu keputusan yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan agar jemaah menteri dapat bergerak sebagai satu pasukan yang jitu.

Perdana Menteri berkata, kabinet perlu bertindak sebagai pasukan yang jitu dalam apa jua keadaan, melangsungkan agenda pembangunan negara serta menguruskan isu-isu negara yang berbangkit agar dapat bertindak dengan berkesan.

"Saya boleh menerima perbezaan pendapat dan kritikan sebagai sebahagian daripada proses dalam membuat keputusan namun sebagai anggota kabinet perbezaan pendapat tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara.

"Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama," kata Najib ketika mengumumkan senarai anggota kabinet baharu di Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas khidmat bakti yang dicurahkan oleh Muhyiddin serta menteri dan timbalan menteri yang kini tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan.

Dalam rombakan kabinet yang diumumkan hari ini, Najib menggugurkan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Empat menteri kabinet yang turut digugurkan ialah Datuk Seri Hasan Malek, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri G. Palanivel dan Datuk Dr Ewon Ebin.

Najib berkata beliau yakin kabinet yang baharu dapat meneruskan hasrat kerajaan untuk menjayakan segala perancangan yang telah dijanjikan, meningkatkan keyakinan serta sokongan rakyat kepada Barisan Nasional.

"Keputusan menggantikan Timbalan Perdana Menteri dengan Ahmad Zahid serta empat menteri dan timbalan menteri dan perubahan portfolio dibuat setelah mengambil kira pertimbangan politik dan kepentingan pentadbiran," katanya.- BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: