Rabu, Julai 29, 2015

Muhyiddin terima penggugurannya dengan hati terbuka!


KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menerima tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dengan hati terbuka.

Timbalan Presiden UMNO dan Ketua UMNO Pagoh itu berkata, beliau menghormati kuasa prerogatif perdana menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet dan berjanji akan terus mencurahkan bakti demi memperkukuh parti.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

“Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

“Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet, maka saya reda.

“Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO.

“Kepada Allah saya berserah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar mengenai pengumuman rombakan kabinet baharu Malaysia yang diumumkan Najib hari ini.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberikan peluang kepadanya berkhidmat di jawatan itu bermula 10 April 2009.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai timbalan perdana menteri,” katanya.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Sasha berkata...

Sifat seorang Islam yg sejati

Pasti ada ganjarannya sekiranya dia redho

Sudah tentu, Najib inginkan saf kepimpinan yg bergerak satu suara...

Najib terima kritikan, perbezaan pendapat...tapi perlu dilakukan dlm ruang yg ditentukan.
Tak boleh bercakp dikhalayak umum perkara yg berbeza selepas telah dipersetujui semasa mesyuarat kabinet....nanti mengundang kekeliruan dan perpecahan dlm parti...

Rasanya Muhyiddin kurang cerdik ....sorry ..ini pendapat saya