Selasa, September 01, 2015

DAP kuasai perhimpunan haram BERSIH 4?

Perhimpunan haram Bersih 4.0 menjadi medan memaki-hamun kerajaan dan Perdana Menteri di Kuala Lumpur, semalam.

Siapa kuasai perhimpunan haram Bersih 4.0? Apakah benar ia bertujuan bagi menuntut sebuah pilihan raya bersih seperti mana asal penubuhan pertubuhan haram tersebut? Atau ia menjadi medan kepada kaum tertentu untuk menunjukkan kekuatan mereka atau melunaskan agenda pembangkang bagi meracuni fikiran rakyat?

Segala persoalan itu terjawab jika kita mengkaji kehadiran lebih 50,000 orang di tengah-tengah bandar raya ini hari ini. Kelompok yang paling banyak atau disifatkan mendominasi kehadiran peserta perhimpunan haram itu terdiri daripada kaum Cina.

Jumlah mereka dikatakan melebihi 80 peratus daripada keseluruhan peserta yang hadir. Jika dalam perhimpunan haram Bersih sebelum ini, kelompok tersebut dilihat tidak memberi sokongan berikutan jumlah kehadiran yang kecil tetapi kali ini mereka mula `tunjuk belang’, apabila menjadi peserta teramai.


Difahamkan sebahagian mereka adalah penyokong-penyokong DAP khususnya yang datang dari Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang. Tindak-tanduk mereka sepanjang perhimpunan haram tersebut tidak lagi `secara sembunyi-sembunyi’, tetapi ada antara mereka secara terbuka membawa sepanduk-sepanduk memaki hamun kepemimpinan negara dengan bahasa kesat.

Walaupun ada kelompok yang cuba menafikan dominasi kaum Cina dalam perhimpunan tersebut namun gambar-gambar yang dirakam termasuklah oleh media-media asing membuktikan hakikat sebaliknya. Malah 'lebih menarik’ mereka juga menjadi peserta yang berada di barisan paling hadapan.

Justeru tidak keterlaluan jika ada tanggapan bahawa kelompok itu mula mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku dalam parti politik Melayu khususnya melibatkan Pas. Ini memandangkan jumlah penyokong parti itu dikatakan hampir tidak ada sama sekali. Yang hadir hanyalah kelompok orang Melayu yang menyokong Gerakan Harapan Baru (GHB) di bawah pimpinan Mohamad Sabu atau penyokong PKR.


Turut dipersoalkan ialah ketelusan penganjur perhimpunan haram itu yang sebelum ini menyatakan ia tidak bermotif politik. Ini kerana Pengerusi Bersih, Maria Chin sendiri dalam ucapannya menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak habis-habisan.

Selain beliau, antara pemimpin lain yang turut menyampaikan ucapan berbaur politik ialah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang menggesa seluruh rakyat Malaysia bangkit menyingkirkan Najib, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mendakwa perhimpunan itu bertujuan menyelamatkan negara daripada krisis politik dan ekonomi.


Walaupun penganjur perhimpunan haram itu mendabik dada bahawa perhimpunan tersebut mencatatkan kehadiran paling ramai berbanding sebelum ini, namun apa yang pasti tindakan melanggar undang-undang itu telah menyusahkan orang ramai khususnya peniaga-peniaga.

Hampir kesemua peniaga terpaksa menutup perniagaan mereka sepanjang perhimpunan berlangsung kerana bimbang sesuatu tidak diingini berlaku. Mereka menanggung kerugian ribuan ringgit berikutan terpaksa mengambil langkah berkenaan.

Begitu juga dengan pemandu teksi mereka mengeluh kerana sukar mendapat penumpang untuk memasuki bandar raya, rintihan yang sama turut disampaikan oleh orang ramai yang terjejas akibat kesesakan lalu lintas.


Aktiviti hari minggu warga kota terjejas teruk akibat 'kegilaan’ peserta-peserta haram Bersih untuk mengadakan demonstrasi.

Selain itu apa yang dikesalkan ialah kebiadaban penganjur Bersih yang memilih untuk mengadakan perhimpunan haram tersebut ketika kawasan sekitar ibu negara sedang dipersiapkan bagi sambutan Hari Kebangsaan 2015, semalam.

Ia menimbulkan persoalan, apakah motif sebenar mereka memilih menjelang Hari Kebangsaan untuk berbuat demikian? Adakah ia bertujuan menyelamatkan negara atau mahu menjejaskan imej Malaysia di mata dunia?

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: