Jumaat, September 11, 2015

Hasrat PKR mahukan Pas hanya mainan politik?


Hasrat PKR mahu meneruskan kerjasama politik dengan Pas dilihat sebagai mainan politik atas konsep ‘siapa makan siapa’.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, ia kerana PKR perlu bergantung kepada Pas untuk kekal berkuasa di Selangor.

“Jika Pas Selangor diketepikan buat masa ini, maka ia akan menyebabkan rombakan Exco. PKR perlu berhadapan bukan sahaja dengan BN dan bekas menteri besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim, tetapi Pas.

“Ini adalah satu sikap kepimpinan PKR yang tidak konsisten. Dari satu sudut mereka dilihat bersahabat baik dengan DAP dan menyokong kumpulan anti Pas, tetapi sudut lain pula, cuba meneruskan hubungan dengan parti itu,” katanya.

Menurutnya, situasi itu mungkin pada pandangan orang ramai Pas digula-gulakan dengan kuasa dan juga peruntukan yang boleh disalurkan Kerajaan Selangor kepada wakil rakyat Pas.

“Jadi buat masa ini walaupun PR dikatakan hancur, roh Pas sama macam Harapan Baru yang mahukan gula-gula politik ekonomi,” katanya.

Md Shukri yakin permusuhan Pas dan Harapan Baru reda menjelang PRU14 yang dijadualkan pada 2018.

“Saya percaya Pas akan bersama kelompok Harapan Baru bergandingan dengan DAP dan PKR sebagai landasan mendapatkan kepuasan untuk menumbangkan BN,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa Pas tidak akan selesa jika bersama Umno dan BN dengan sikap serta nilai politik parti itu sendiri.

“Senario politik semasa menjelang PRU14 tidak akan menjadikan Pas bersendirian, sekurang-kurangnya Pas akan kembali bersama sekutu mereka dalam PR 2.0.

“Jika ini berlaku, DAP adalah sebenarnya ketua pembangkang dan Pas parti penambah perisa sahaja,” katanya.

Jelasnya, kesemua langkah tersebut dibuat bagi menjamin survival politik PKR terutamanya di Selangor.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan bahawa PKR tetap akan meneruskan kerjasama dengan Pas dan menerima mana-mana pihak yang terikat dengan pendirian sama untuk melakukan perubahan serta reformasi secara total.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata demikian sebagai pandangan terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang tidak akan berbuat baik dengan Pas buat masa ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: