Isnin, Oktober 12, 2015

Langgar Bai’ah: Mujahid, Mohammad Nizar 
didesak letak jawatan Ahli Parlimen, ADUN?


Berikutan tindakan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meninggalkan Pas, kedua-duanya kini didesak oleh parti itu supaya mengosongkan kerusi masing-masing.

Desakan tersebut dibuat terhadap kedua-dua bekas pemimpin Pas itu setelah mereka didakwa melanggar bai'ah dengan bertindak melompat parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang baru sahaja diluluskan oleh Jaba­tan Pendaftaran Per­tubuhan (ROS).

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, kedua-dua wakil rakyat itu telah menandatangani bai'ah ketika dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu di atas tiket Pas.

Katanya, berdasarkan bai'ah tersebut, mana-mana calon yang telah memenangi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kemudiannya bertindak meninggalkan Pas, maka mereka perlu meletak jawatan dan mengosongkan kerusi tersebut.

“Sebagaimana yang umum ketahui, Dr. Mujahid telah diisytiharkan sebagai Naib Pengerusi 1 Amanah, manakala Nizar pula dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat parti dan Naib Pengerusi Amanah Perak.

“Disebabkan itu, berdasarkan perjanjian yang telah dibuat oleh mereka, Pas mendesak supaya kedua-duanya mengosongkan jawatan yang telah mereka menang atas tiket diamanahkan oleh parti kepada mereka pada pilihan raya umum lalu.

“Untuk membuktikan bahawa mereka ini benar-benar mendukung sebuah parti Amanah, maka, wajarlah kedua-duanya memenuhi amanah yang telah diberikan dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Misbahul Munir Masduki; Ketua Dewan Ulama negeri, Sidek Mohd.Nor, Ketua Dewan Muslimat negeri, Najihatussalehah Ahmad, Setiausaha Pas negeri, Mohd. Zawawi Abu Hasan dan Ketua Penerangan Pas negeri, Dr. Muhd. Zuhdi Marzuki.

Ditanya sama ada Pas akan mengambil sebarang tindakan sekiranya kedua-dua wakil rakyat itu enggan mengosongkan kerusi masing-masing, Muhd. Zuhdi memberitahu bahawa tiada apa yang boleh dilakukan parti itu daripada aspek undang-undang.

“Bai'ah ini melibatkan mereka, parti dan Allah, tiada kaitan dengan kontrak perjanjian undang-undang. Cuma apabila mereka langgar bai'ah, kesannya adalah dari segi moral dan akhlak.

“Kedua-duanya diangkat sebagai pendukung parti yang dikatakan amanah, tetapi mereka sendiri langgar perjanjian, jadi dari segi moralnya jatuh. Kemudian kesan lainnya ialah di akhirat kelak, sebab bai'ah melibatkan Allah sebagai saksi,” jelas beliau.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: